Dividen Petronas berpotensi cecah RM48 bilion - Utusan Malaysia

Dividen Petronas berpotensi cecah RM48 bilion

PETRONAS dijangka beri dividen lebih tinggi pada tahun depan. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pembayaran dividen Petroliam Nasional Bhd (Petronas) kepada kerajaan berkemungkinan meningkat kepada RM48 bilion pada tahun kewangan 2026, sekali gus membantu mengimbangi peningkatan perbelanjaan subsidi bahan api kerajaan.

Menurut BIMB Securities, dalam nota pratinjau Bajet 2027 pada Jumaat berkata, pembayaran dividen Petronas kepada kerajaan boleh mencecah RM48 bilion tahun depan, manakala bil subsidi bahan api berpotensi meningkat kepada RM50 bilion sekiranya harga minyak mentah Brent purata AS$95 (RM387.98) setong.

Firma itu berkata, sebagai perbandingan, pembayaran dividen Petronas kepada kerajaan berjumlah RM32 bilion pada 2025, manakala kos subsidi bahan api direkodkan sebanyak RM30 bilion,” katanya dalam nota penyelidikan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Peningkatan pembayaran dividen berpotensi memberi tekanan terhadap peruntukan modal Petronas, khususnya bagi perbelanjaan aktiviti huluan, infrastruktur gas serta inisiatif peralihan tenaga.

“Pembayaran dividen yang lebih tinggi boleh menimbulkan persoalan mengenai peruntukan modal jangka panjang Petronas,” katanya dalam nota penyelidikan.

Firma penyelidikan itu turut menjangkakan penjanaan tunai Petronas melalui anak syarikatnya yang disenaraikan di Bursa Malaysia akan menjadi perhatian yang lebih besar.

Harga minyak mentah kekal tinggi susulan ketegangan di Asia Barat, dengan harga Brent, penanda aras minyak mentah global, mencatat purata antara AS$94 (RM383.90) hingga AS$98 (RM400.23) setong dalam tempoh tiga bulan lalu.

Harga Brent didagangkan sekitar AS$102.30 (RM417.79) setong pada Jumaat.

Bagaimanapun, BIMB Securities menjangkakan pembayaran dividen Petronas akan sederhana kepada RM32 bilion pada 2027 dan RM25 bilion pada 2028, sejajar dengan unjuran harga Brent yang masing-masing susut kepada AS$85 (RM347.14) dan AS$75 setong (RM306.30). 

Dalam pada itu, firma berkata, peningkatan harga minyak mungkin hanya memberi manfaat terhad kepada kedudukan fiskal Malaysia berikutan margin penapisan yang lebih tinggi serta permintaan bahan api yang kekal kukuh, yang seterusnya meningkatkan kos subsidi.

“Apabila harga minyak meningkat, margin penapisan turut melonjak melebihi AS$60 setong (RM245.04). Perbezaan antara harga minyak mentah dan produk petroleum ditapis bermakna perbelanjaan subsidi boleh meningkat lebih pantas berbanding hasil berkaitan petroleum.

“Situasi ini berpotensi mengehadkan usaha kerajaan untuk mempercepatkan konsolidasi fiskal,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN