Harga makanan di litar Sepang sejajar acara antarabangsa

Harga makanan di litar Sepang sejajar acara antarabangsa

PEMINAT sukan F1 mula membanjiri pada hari pertama pembukaan sempena perlumbaan Formula 1 (F1) Grand Prix (GP) Bahrain Gulf Air 2026 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).-UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Harga makanan mencecah RM35 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) sempena penganjuran Formula 1 (F1) dianggap selari dengan kos menghadiri acara antarabangsa itu oleh sebahagian netizen.

Menerusi ruangan komen Facebook Utusan Malaysia, sebahagian pengguna media sosial berpendapat harga makanan di dalam kawasan litar sememangnya berbeza berbanding premis makanan di luar kawasan acara.

Menurut mereka, kos sewaan tapak, penganjuran acara serta kehadiran pengunjung dari dalam dan luar negara antara faktor yang mempengaruhi harga makanan di kawasan terbabit.

Memuatkan artikel berkaitan…

Seorang pengguna media sosial, Apeq Kimura berkata, harga makanan dan minuman yang tinggi bukan perkara baharu bagi pengunjung yang pernah menghadiri perlumbaan F1 sebelum ini.

“Siapa yang pernah pergi Grand Prix sebelum ini, perkara seperti ini memang biasa. Air minuman pun RM5 sejak 10 tahun lalu,” katanya menerusi komen di Facebook.

Kelmarin Utusan Malaysia melaporkan harga nasi lemak bersama telur goreng di Litar Antarabangsa Sepang mencecah RM35, manakala nasi ayam dan mi segera bersama telur goreng masing-masing dijual pada harga RM30.

Harga buah potong turut dilaporkan mencecah RM20, sekali gus mencetuskan perbincangan dalam kalangan pengguna media sosial mengenai harga makanan di kawasan penganjuran F1.

Bagaimanapun, terdapat juga netizen yang melihat harga berkenaan dari sudut kemampuan pengunjung tempatan, selain membandingkannya dengan harga makanan di lokasi tumpuan lain seperti lapangan terbang, hotel dan festival makanan.

Sementara itu, Khairul Ramlee berkata, harga makanan yang tinggi di kawasan F1 bukan perkara baharu kerana kos penganjuran acara itu turut mempengaruhi harga yang dikenakan vendor.

“Acara antarabangsa biasalah itu, lagi-lagi F1 dari dulu pun memang mahal sebab vendor sewa tapak dalam tu pun sudah sememangnya mahal walaupun untuk tiga hari saja,” katanya.

Kim Aizat pula berkata, pengunjung masih mempunyai pilihan untuk mendapatkan makanan pada harga lebih rendah di lokasi lain sekitar kawasan litar.

“Saya tidak pernah pergi menonton F1 dan mendapatkan makanan pada harga murah. Kalau mahu harga lebih berpatutan, boleh makan di kafe berhampiran,” katanya.

Dalam pada itu, D’mond Sirai membandingkan harga makanan tersebut dengan harga tiket F1 yang turut memerlukan perbelanjaan tinggi.

“Tiket berharga ratusan ringgit tidak pula dipersoalkan, tetapi apabila nasi lemak berharga RM35, timbul pula rungutan. Ini acara antarabangsa,” katanya.

Burhanudin Ismail pula berpendapat kebanyakan pengunjung yang hadir menyaksikan F1 sudah membuat persediaan kewangan untuk menanggung perbelanjaan sepanjang berada di litar.

“Kebanyakan yang hadir menyaksikan F1, mereka sudah bersedia dengan kewangan yang cukup, bagi mereka RM35 itu sudah tidak menjadi masalah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN