SEREMBAN: Bekas pekerja subkontraktor telekomunikasi antara 47 individu yang ditahan kerana disyaki terbabit dalam kegiatan mencuri kabel, peralatan telekomunikasi dan pecah masuk premis di sekitar Nilai di sini dari Januari hingga September lalu.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Johari Yahya berkata, kesemua suspek membabitkan tujuh kumpulan yang dipercayai menjalankan kegiatan berkenaan di pencawang telekomunikasi sekitar Mantin, Labu dan Lenggeng.
“Kesemua suspek ditahan di sekitar Lembah Klang dan Nilai.
“Suspek biasanya melakukan kegiatan pada waktu malam hingga awal pagi, khususnya antara pukul 2 pagi hingga 6 pagi,” katanya semasa sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai, di sini hari ini.
Johari berkata, siasatan mendapati kumpulan berkenaan menyasarkan kabel tembaga, komponen telekomunikasi termasuk Unit Radio Jarak Jauh (RRU), slot kad telekomunikasi dan konduktor kilat.
Katanya, suspek turut memakai baju syarikat telekomunikasi bagi menyamar sebagai kontraktor selain menyasarkan peralatan di pencawang yang dikongsi beberapa syarikat telekomunikasi.
“Mereka menyasarkan peralatan berkenaan kerana mempunyai komponen yang mempunyai nilai termasuk kandungan logam berharga manakala kabel yang dicuri mengandungi tembaga dan dijual mengikut berat.
“Harga tembaga ketika ini sekitar RM40 sekilogram,” katanya.
Beliau berkata, kegiatan berkenaan dianggarkan menyebabkan kerugian kira-kira RM4.5 juta kepada syarikat telekomunikasi selain menjejaskan kemudahan rangkaian dan menyebabkan gangguan perkhidmatan kepada pengguna.
Katanya, polis turut merampas antaranya gulungan kabel, jalur tembaga konduktor kilat, peralatan memotong selain beg, guni serta beberapa kenderaan yang dipercayai digunakan dalam kegiatan berkenaan.
“Siasatan mendapati mereka terdiri daripada bekas pekerja subkontraktor selain individu yang dipercayai mempunyai pengetahuan mengenai kemudahan telekomunikasi,” katanya.
Dalam pada itu, Johari berkata, jumlah kes kecurian kabel dan peralatan telekomunikasi di daerah Nilai meningkat kepada 72 kes bagi tempoh Januari hingga September tahun ini berbanding kira-kira 50 kes dalam tempoh sama tahun lalu. – UTUSAN











