WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mungkin meminta negara-negara Eropah mengeluarkan sebahagian daripada rizab diesel mereka bagi membantu menurunkan harga bahan api.
Trump berkata, cadangan itu antara usaha untuk mengurangkan harga bahan api di stesen minyak, susulan peningkatan harga yang berkaitan dengan konflik di Asia Barat.
“Kita mungkin berbuat demikian. Mereka mempunyai diesel. Harga sedang turun. Semua harga sedang turun,” katanya ketika ditanya mengenai cadangan itu pada Khamis.
Trump turut menjangkakan harga minyak akan jatuh dengan ketara selepas perang dengan Iran berakhir.
“Iran tidak akan pernah memiliki senjata nuklear. Dalam satu cara atau yang lain, ia akan berakhir dengan cepat. Apabila ia berakhir, harga minyak akan jatuh menjunam,” katanya.
Kenyataan itu dibuat susulan laporan pentadbiran Trump menggesa negara-negara Eropah mengeluarkan rizab diesel kecemasan bagi membantu menurunkan harga bahan api global.
Dalam kenyataan kepada media ketika lawatan ke sebuah lokasi di Texas, Trump berkata Iran kini berdepan inflasi hampir 312 peratus, sambil mendakwa mata wang negara itu sudah tidak bernilai.
Beliau turut mendakwa tentera AS baru-baru ini membawa keluar lebih banyak minyak melalui Selat Hormuz, dengan berkata Tentera Laut AS mengenakan sekatan dan menjadi satu-satunya pasukan yang mampu melalui laluan berkenaan.
“Apabila perkara itu berlaku, apabila ia berakhir, yang akan berlaku tidak lama lagi. Dalam satu cara atau yang lain, ia akan berakhir.
“Sama ada mereka melakukan sesuatu yang sangat wajar dan bijak, atau mereka tidak akan bertahan lama,” katanya.- AGENSI











