LANDSKAP politik Amerika Syarikat (AS) menyaksikan perubahan besar apabila Parti Demokrat berjaya merampas penguasaan kedua-dua dewan Kongres menerusi kemenangan dalam Pilihan Raya Pertengahan Penggal pada 3 November, lalu.
Kejayaan yang digelar sebagai ‘Gelombang Biru’ itu bukan sahaja menamatkan penguasaan Parti Republikan terhadap institusi perundangan negara tersebut. Malah kemenangan ini memberikan isyarat jelas pentadbiran Donald Trump bakal berhadapan dengan cabaran politik yang lebih besar bagi baki tempoh pentadbirannya.
Kemenangan Demokrat ini mempunyai signifikan tersendiri memandangkan pilihan raya pertengahan penggal lazimnya menjadi ukuran terhadap penerimaan rakyat terhadap prestasi pentadbiran presiden yang sedang berkuasa.
Menurut laporan Reuters dan Associated Press, kemenangan Demokrat merangkumi beberapa persaingan penting di negeri seperti Texas, Kansas, Iowa, Ohio, Carolina Utara dan Carolina Selatan.
Keputusan tersebut memperlihatkan gelombang sokongan kepada Demokrat bukan sekadar tertumpu di kawasan bandar atau negeri yang secara tradisinya menyokong parti itu akan tetapi turut menembusi kawasan yang sebelum ini menjadi pangkalan politik Republikan.
Antara faktor yang mempengaruhi keputusan pengundi termasuk kebimbangan terhadap peningkatan kos sara hidup, ketidaktentuan ekonomi, konflik dengan Iran serta ketidakpuasan hati terhadap beberapa dasar pentadbiran Trump.
Perkembangan ini menjadikan pilihan raya tersebut lebih daripada sekadar persaingan antara dua parti politik, sebaliknya satu manifestasi penilaian rakyat terhadap hala tuju kepimpinan negara.
PERUBAHAN IMBANGAN KUASA DI WASHINGTON
Penguasaan Demokrat terhadap kedua-dua dewan Kongres membawa implikasi besar terhadap sistem politik AS yang berasaskan prinsip pemisahan kuasa dan semak dan imbang.
Dalam sistem tersebut, Presiden mempunyai kuasa eksekutif untuk melaksanakan dasar kerajaan, manakala Kongres bertanggungjawab menggubal undang-undang, meluluskan peruntukan kewangan serta menjalankan pengawasan terhadap pentadbiran.
Justeru, apabila parti yang berbeza menguasai Rumah Putih dan Kongres, hubungan antara kedua-dua institusi berpotensi menjadi lebih kompleks.
Kemenangan ini memberikan peluang kepada Demokrat untuk menentukan kepimpinan jawatankuasa Kongres dalam mengawal agenda perundangan serta meningkatkan pengawasan terhadap pelaksanaan dasar pentadbiran Trump.
Ini termasuk membuka siasatan terhadap keputusan kerajaan, penggunaan kuasa eksekutif, pengurusan kewangan awam dan pelaksanaan dasar yang menimbulkan kontroversi.
Penguasaan Senat juga memberikan Demokrat kedudukan strategik dalam proses pengesahan pelantikan pegawai kanan kerajaan dan hakim persekutuan.
Keadaan ini boleh menyukarkan pentadbiran Trump mendapatkan sokongan terhadap calon-calon yang dicadangkan untuk mengisi jawatan penting dalam kerajaan.
Bagaimanapun, penguasaan Kongres tidak bermaksud Demokrat mempunyai kuasa mutlak untuk menentukan keseluruhan dasar negara.
Trump masih mempunyai kuasa veto terhadap rang undang-undang yang diluluskan Kongres, manakala keputusan untuk mengatasi veto memerlukan sokongan dua pertiga daripada kedua-dua dewan.
Keadaan ini bermakna hubungan antara Rumah Putih dengan Kongres berkemungkinan menyaksikan rundingan politik yang lebih sukar dan persaingan institusi yang semakin ketara.
DASAR TRUMP BERDEPAN TEKANAN BAHARU
Persoalan utama selepas kemenangan Demokrat ialah sejauh manakah perubahan penguasaan Kongres akan menjejaskan agenda politik dan dasar utama Trump?
Sepanjang pentadbirannya, Trump memberikan penekanan kepada agenda ‘America First’ yang merangkumi perlindungan industri domestik, kawalan imigresen, dasar perdagangan berasaskan tarif serta pengukuhan kepentingan keselamatan nasional AS.
Bagaimanapun, penguasaan Demokrat terhadap Kongres memberikan ruang kepada parti itu untuk meneliti semula pelaksanaan beberapa dasar berkenaan.
Dasar tarif perdagangan, misalnya, berpotensi menjadi antara isu utama perdebatan memandangkan pendekatan tersebut mempunyai implikasi terhadap kos import, hubungan perdagangan antarabangsa dan rantaian bekalan global.
Namun, cabaran terbesar bukan sekadar kemampuan Demokrat untuk menyekat atau memperlahankan agenda Trump tetapi sejauh mana kedua-dua parti mampu mencapai persetujuan terhadap isu yang melibatkan kepentingan nasional. Sekiranya perbezaan politik terlalu ketara, AS berpotensi berhadapan dengan kebuntuan perundangan yang boleh menjejaskan kelancaran pentadbiran kerajaan.
PERSAINGAN GEOPOLITIK DAN DASAR LUAR AS
Dari perspektif hubungan antarabangsa, perubahan penguasaan Kongres turut menimbulkan persoalan mengenai kesinambungan dasar luar AS, khususnya dalam menghadapi persaingan kuasa besar dan ketidaktentuan geopolitik global.
Antara isu yang perlu diberikan perhatian ialah hubungan Washington dengan Beijing. Persaingan AS-China bukan sahaja melibatkan kekuatan ketenteraan, malah merangkumi perdagangan, teknologi, semikonduktor, kecerdasan buatan (AI) dan penguasaan rantaian bekalan strategik.
Walaupun Parti Demokrat dan Republikan mempunyai perbezaan pendekatan dalam beberapa aspek dasar luar, persaingan strategik dengan China kekal sebagai kepentingan nasional dalam politik keselamatan AS. Oleh itu, kemenangan Demokrat tidak semestinya membawa perubahan drastik terhadap pendekatan Washington terhadap Beijing.
Sebaliknya, perubahan mungkin lebih ketara dari segi kaedah diplomasi, pelaksanaan dasar perdagangan dan tahap pengawasan Kongres terhadap keputusan pentadbiran berkaitan China dan Indo-Pasifik.
Dalam masa sama, perkembangan konflik dengan Iran turut berpotensi menjadi medan pertembungan antara Kongres dengan Rumah Putih.
Demokrat berkemungkinan meningkatkan penelitian terhadap penglibatan ketenteraan AS, peruntukan kewangan pertahanan serta justifikasi penggunaan kekuatan ketenteraan di luar negara.
Perkara ini penting kerana keputusan melibatkan keselamatan antarabangsa bukan sahaja mempunyai implikasi dari sudut ketenteraan, malah turut mempengaruhi kestabilan ekonomi serta hubungan diplomatik AS dengan negara-negara lain. –UTUSAN
DR. Ahmad Shah Pakeer Mohamed ialah Pensyarah Kanan Bidang Diplomasi dan Hubungan Antarabangsa, Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM).











