APABILA berbicara tentang khazanah Tamadun Islam, kita sering melihatnya sebagai warisan masa lalu sebagai sesuatu yang perlu dipelihara, dipamerkan dan dikenang.
Namun sejarah menunjukkan khazanah sesebuah tamadun boleh memainkan peranan lebih besar dengan menjadi sumber ilmu, pencetus kreativiti dan asas inovasi masa hadapan.
Hal ini dapat dilihat melalui cara sarjana, arkitek dan pereka bentuk Eropah suatu ketika dahulu mengkaji warisan seni bina dan kesenian dunia Islam.
Antaranya, beberapa karya ikonik yang terdapat dalam Koleksi Tamadun Islam (KTI) di Perpustakaan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), sebuah institusi pemikir negara.
Karya itu termasuk James Cavanah Murphy (1760–1814), arkitek Ireland yang menghasilkan karya monumental The Arabian Antiquities of Spain. Melalui pengukuran, lukisan dan dokumentasi terperinci, seni bina Islam di Sepanyol, termasuk Istana Alhambra di Granada, diperkenalkan kepada khalayak Eropah yang lebih luas.
Beberapa dekad kemudian, Owen Jones (1809–1874), tokoh penting pembaharuan reka bentuk Britain zaman Victoria, membawa penelitian terhadap Alhambra ke tahap baharu.
Bersama arkitek Perancis Jules Goury, kajiannya menghasilkan Plans, Elevations, Sections, and Details of the Alhambra (1842–1845), sebuah dokumentasi luar biasa mengenai seni bina, hiasan dan warna Alhambra.
Ketika itu, Britain sedang mengalami Revolusi Perindustrian. Mesin dan kilang membolehkan barangan dihasilkan dalam jumlah yang belum pernah berlaku sebelumnya.
Namun Jones menyedari suatu paradoks, kemajuan teknologi dan kemampuan menghasilkan lebih banyak barangan tidak semestinya menghasilkan reka bentuk yang lebih baik. Banyak produk industri ketika itu sekadar mengulangi gaya lama tanpa memahami prinsip yang menjadikan karya asalnya indah dan harmoni.
Di Alhambra, Jones meneliti geometri, warna, perkadaran, corak dan seni ukir. Apa yang dicari bukan sekadar motif untuk disalin tetapi prinsip yang memungkinkan keindahan tersebut terhasil.
Perbezaan ini penting. Mempelajari Alhambra bukan bererti mengambil coraknya lalu menampalkannya pada produk Britain. Jones mahu memahami mengapa sesuatu reka bentuk itu berjaya, kemudian menggunakan prinsip tersebut untuk menghasilkan ciptaan baharu yang sesuai dengan zamannya.
Pendekatan ini dikembangkan melalui karya terkenalnya, The Grammar of Ornament (1856), yang menghimpunkan contoh seni hiasan pelbagai tamadun dunia. Sejarah reka bentuk dunia seolah-olah menjadi sebuah makmal perbandingan peradaban untuk menemukan prinsip bagi penciptaan baharu.
Di sini terdapat suatu proses pencetus inovasi yang penting dari warisan dokumentasi penelitian penerbitan penyelidikan lanjutan dan cetusan inspirasi inovasi baharu.
Sebuah bangunan yang dibina berabad-abad sebelumnya boleh memperoleh kehidupan intelektual baharu apabila dikaji secara sistematik.
Warisan tidak lagi menjadi objek nostalgia tetapi sumber penciptaan.
Sudah tentu, sejarah pengkajian Barat terhadap dunia Islam tidak boleh dibaca secara romantik. Sebahagiannya berkembang dalam suasana kolonialisme dan Orientalisme, apabila ilmu mengenai masyarakat Timur kadangkala berkait dengan kepentingan politik dan kekuasaan. Namun satu hakikat wajar direnungkan, mereka mempelajari khazanah Tamadun Islam secara serius.
Mereka mengukur bangunannya, mendokumentasikan coraknya, mengkaji manuskripnya serta membina muzium, perpustakaan dan institusi untuk menghimpunkan pengetahuan mengenainya. Sebahagian pengetahuan tersebut kemudiannya diterjemahkan menjadi tradisi reka bentuk, amalan dan pemikiran baharu.
Persoalannya, apakah hubungan dan sikap kita sendiri dengan khazanah Tamadun Islam hari ini? Kita memiliki manuskrip, kitab, karya seni, seni bina, sejarah institusi dan tradisi keilmuan yang terbentuk selama lebih seribu tahun. Tetapi sekiranya semuanya hanya disimpan sebagai peninggalan sejarah, kita belum memanfaatkan sepenuhnya kekayaan tersebut.
Di sinilah KTI di Perpustakaan IKIM perlu dilihat melalui kerangka yang lebih besar. Koleksi ini, yang turut menghimpunkan penerbitan penting mengenai Alhambra dan khazanah reka bentuk Islam, bukan sekadar tempat menyimpan karya mengenai sejarah Islam. Ia berpotensi menjadi suatu infrastruktur ilmu atau makmal peradaban yang menghubungkan khazanah masa lalu dengan persoalan masa kini dan kemungkinan masa hadapan.
Bayangkan khazanah ini dipertemukan secara sistematik dengan penyelidik, arkitek, pereka bentuk, penggubal dasar, penggiat media dan pempengaruh. Daripada manuskrip boleh lahir penyelidikan baharu. Daripada penelitian terhadap kota Islam boleh muncul gagasan perancangan bandar. Daripada prinsip seni bina dan reka bentuk Islam boleh berkembang reka bentuk kontemporari.
Maka ukuran kejayaan sebuah koleksi ilmu bukan sekadar berapa banyak buku yang dimilikinya tetapi berapa banyak ilmu dan penciptaan baharu yang dapat dilahirkan daripadanya.
ERA KECERDASAN BUATAN
Persoalan ini semakin penting dalam zaman kecerdasan buatan (AI). Terdapat persamaan menarik antara cabaran Jones pada abad ke-19 dengan cabaran kita hari ini.
Revolusi Perindustrian meningkatkan kemampuan manusia menghasilkan barangan secara besar-besaran tetapi tidak dengan sendirinya memberikan panduan tentang keindahan, kesesuaian dan tujuan.
Hari ini, AI membolehkan kita menghasilkan teks, imej dan reka bentuk dalam jumlah luar biasa. Namun kemampuan menghasilkan lebih banyak tidak dengan sendirinya memberikan kita makna, pertimbangan, cita rasa atau tujuan.
Jika Jones pada zaman Revolusi Perindustrian kembali mengkaji khazanah tamadun untuk mencari prinsip bagi menghadapi cabaran zamannya, kita juga perlu bertanya, apakah khazanah ilmu yang akan menjadi panduan kita dalam menghadapi Revolusi AI?
Barat suatu ketika dahulu tidak sekadar merakamkan bentuk zahir Alhambra. Mereka mengkaji, mendokumentasi dan berusaha memahami prinsip di sebaliknya, lalu menjadikannya sebahagian daripada proses penciptaan dan inovasi baharu.
Kita pula merupakan antara pewaris khazanah tersebut. Cabaran kita bukan sekadar memeliharanya tetapi kembali menjadikannya sumber penyelidikan dan inovasi yang indah untuk masa kini dan masa hadapan. –UTUSAN
PENULIS ialah Felo Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).











