Pengecualian cukai emas perlu diteruskan, kunci daya saing industri - Utusan Malaysia

Pengecualian cukai emas perlu diteruskan, kunci daya saing industri

PENGECUALIAN cukai emas dorong peningkatan industri jual beli emas di peringkat antarabangsa. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persatuan Tukang Emas dan Barang Kemas India Malaysia (MIGJA) menggesa kerajaan tidak mengenakan sebarang cukai baharu terhadap industri emas dan barang kemas dalam Belanjawan 2027 bagi memastikan momentum pertumbuhan sektor berkenaan terus dikekalkan.

Presidennya, Datuk Abdul Rasull Abdul Razak berkata, ketiadaan cukai seperti Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) atau Cukai Nilai Tambah (VAT) ketika ini menjadi antara faktor utama yang menjadikan Malaysia lokasi menarik untuk urusan jual beli emas dan barang kemas di rantau Asia.

Menurutnya, dasar berkenaan bukan sahaja menyokong industri tempatan, malah menjadikan Malaysia lebih kompetitif dalam menarik pelancong asing, khususnya dari India dan China yang turut mendapatkan barangan kemas ketika berkunjung ke negara ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Malaysia sekarang sangat selesa untuk menjual barang kemas kerana kita tidak mengenakan GST, VAT atau cukai seumpamanya.

“Pelancong dari India dan China datang ke Malaysia kerana harga kita lebih kompetitif, selain kualiti barang kemas yang baik,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut beliau, pengenaan sebarang cukai baharu terhadap emas dan barang kemas dikhuatiri memberi kesan besar kepada industri serta mengurangkan kuasa beli pengguna.

“Negara lain seperti Singapura dan Thailand masing-masing mengenakan cukai penggunaan, sekali gus menyebabkan kos pembelian barang kemas menjadi lebih tinggi berbanding Malaysia.

“Kalau kerajaan mengenakan cukai, seluruh industri boleh terjejas. Sebab itulah kita berharap kerajaan mengekalkan keadaan sedia ada dan tidak mengenakan cukai terhadap industri ini,” katanya.

Abdul Rasull berkata, barang kemas kini bukan sekadar barangan perhiasan, sebaliknya semakin dilihat sebagai salah satu instrumen simpanan dan aset yang mudah dicairkan ketika pengguna memerlukan wang.

Jelasnya, peningkatan harga emas juga menyebabkan semakin ramai pengguna memilih emas sebagai instrumen penyimpanan nilai.

“Apabila seseorang membeli barang kemas dan kemudian memerlukan wang, emas boleh dijual semula. Tetapi jika cukai dikenakan, nilai yang diterima pengguna ketika menjual semula akan menjadi lebih rendah selepas mengambil kira cukai dan kos berkaitan.

“Keadaan itu akhirnya boleh menjejaskan permintaan domestik, terutama dalam kalangan pengguna yang mempunyai kuasa beli terhad,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Rasull berkata, MIGJA kini sedang mengadakan perbincangan dengan pihak berkuasa termasuk Jabatan Kastam Diraja Malaysia bagi menjelaskan implikasi sekiranya cukai baharu dikenakan terhadap industri emas dan barang kemas.

“Kita sudah menunjukkan kepada kerajaan pelbagai kesukaran dan masalah yang akan dihadapi industri sekiranya cukai dikenakan.

“Apabila sudah dikenakan, amat sukar untuk kita berpatah balik. Sebab itu kita mahu perkara ini diberi perhatian sebelum sebarang keputusan dibuat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×