GEORGE TOWN : Polis berjaya menahan lima individu termasuk sepasang kekasih selain merampas pelbagai jenis dadah bernilai kira-kira RM3.5 juta dalam tiga operasi berasingan di sekitar negeri ini, minggu lepas.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Dennis Lim Kwang Keng berkata, dalam operasi pertama pada 21 September lalu, seorang lelaki tempatan berusia 47 tahun telah ditahan di sekitar Jalan Masjid Negeri.
Katanya, penahanan suspek kemudian membawa kepada penemuan sebuah kenderaan yang ditinggalkan di tempat parkir dipercayai digunakan sebagai tempat penyimpanan dadah serta peralatan untuk memproses bahan terlarang itu.
“Dalam operasi itu juga, polis turut merampas heroin seberat 8.83 kilogram (kg), 5.35 kg serbuk kafein serta beberapa peralatan memproses heroin yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM443,518,” katanya dalam sidang akhbar, hari ini.
Sementara itu, beliau berkata, dalam operasi berikutnya pada 22 September yang lepas, dua lelaki tempatan bersama seorang wanita warga asing berusia antara 27 hingga 42 tahun ditahan susulan dua serbuan berasingan yang dilakukan di sekitar Jalan Tun Dr. Awang dan Sungai Nibong Kecil di sini.
“Dalam serbuan itu pula, sebanyak 3.26 kg serbuk MDMA serta lima liter cecair MDMA yang dianggarkan bernilai RM1.2 juta berjaya dirampas. Dadah-dadah ini disyaki diperoleh daripada satu sindiket untuk dibungkus.
“Ketika ini, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti kemungkinan wujudnya rangkaian sindiket sama berdasarkan modus operandi yang digunakan itu,” ujar beliau.
Dalam perkembangan berkaitan, Dennis memberitahu, seorang lelaki tempatan berusia 45 tahun ditahan di sekitar Jalan Seladang, Bukit Mertajam dalam operasi ketiga pada 27 September lalu.
“Susulan penahanan itu, polis menjumpai kira-kira 11.8 kg serbuk MDMA, 182 biji pil ekstasi dan Erimin 5 serta 70 gram serbuk ketamin yang dianggarkan bernilai RM1.8 juta,” katanya.
Tambah beliau, kesemua kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan semua suspek juga telah direman untuk tempoh tertentu bermula 22 September bagi membantu siasatan.-UTUSAN











