BEIJING: China berikrar menyokong Cuba dalam mempertahankan kedaulatan negara itu daripada campur tangan luar selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mendakwa Havana akan tumbang dan menggesa perubahan asas di negara tersebut.
Jurucakap Kementerian Luar China, Guo Jiakun berkata, Beijing akan menyokong Cuba dalam mempertahankan kedaulatan negara serta meneruskan laluan pembangunan yang sesuai dengan keadaan negara itu.
Beliau berkata demikian pada Isnin ketika China dan Cuba memperingati ulang tahun ke-66 hubungan diplomatik kedua-dua negara.
Dalam ucapannya pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) minggu lalu, Trump menyifatkan Cuba sebagai ‘negara yang gagal sepenuhnya’ dan tempat perlindungan musuh asing di depan pintu AS.
Cuba kini berdepan krisis ekonomi terburuk dalam beberapa dekad, dengan negara itu mengalami kekurangan bahan api dan makanan serta gangguan bekalan elektrik berpanjangan.
Sekatan AS selama beberapa dekad turut mengehadkan akses Cuba kepada pembiayaan, bahan api dan peralatan, sekali gus memburukkan masalah pengeluaran domestik yang rendah, kebergantungan kepada import serta infrastruktur tenaga semakin usang.
Krisis itu bertambah buruk tahun ini selepas penghantaran minyak dari Venezuela dan Mexico terhenti. Menurut S&P Global, kedua-dua negara itu menyumbang kira-kira 86 peratus daripada minyak mentah yang diimport Cuba tahun lalu.
Penghantaran minyak dari Venezuela terhenti selepas operasi ketenteraan AS yang menyingkirkan Presiden Nicolas Maduro pada Januari. – AGENSI











