PETALING JAYA: Kira-kira 80,000 pesakit dijangka mendapat manfaat inisiatif Ubat Melalui Pos (UMP) iaitu penghantaran percuma bekalan ubat-ubatan bagi tempoh setahun kepada yang layak.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam satu kenyataan berkata, inisiatif UMP akan berkuatkuasa mulai 1 Oktober ini melibatkan anggaran kos penghantaran sebanyak RM5 juta yang ditanggung sepenuhnya.
Katanya, Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil bersama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad melancarkan pembiayaan inisiatif UMP iaitu kerjasama strategik antara Kementerian Komunikasi melalui MCMC dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memudahkan pesakit mendapatkan bekalan ubat-ubatan susulan secara percuma.
“Inisiatif ini diperkenalkan bagi menggalakkan lebih ramai pesakit memanfaatkan perkhidmatan kesihatan digital, di samping memudahkan akses kepada bekalan ubat-ubatan tanpa perlu hadir ke fasiliti kesihatan,” katanya hari ini.
Menurut kenyataan itu, MCMC akan menyelaras pelaksanaan inisiatif berkenaan, selaras dengan peranannya sebagai badan kawal selia sektor pos negara, manakala KKM kekal bertanggungjawab terhadap pengurusan kelayakan pesakit dan penyediaan bekalan ubat-ubatan.
Katanya, urusan penghantaran akan dilaksanakan oleh Pos Malaysia Berhad.
“Inisiatif ini dijangka memanfaatkan 80,000 pesakit setiap bulan di seluruh negara, dengan anggaran kos penghantaran sebanyak RM5 juta yang ditanggung sepenuhnya.
“Pelaksanaan ini merupakan susulan pengumuman oleh Menteri Komunikasi semasa pelancaran Pemacu Ekosistem dan Ketersambungan Kesihatan Digital Negara (Persada) 15 Jun lalu, sekali gus membuktikan komitmen berterusan kerajaan dalam memperluas manfaat perkhidmatan kesihatan kepada rakyat,” katanya. – UTUSAN











