PETALING JAYA: “Saya mahu ubah nasib keluarga di kampung.”
Itu tekad dua anak Orang Asli, Azie Darhani Nai Manop, dan Hazaril Hakimi Hassan, yang memilih pendidikan sebagai jalan untuk membina masa depan lebih baik, sekali gus memberi manfaat kepada keluarga dan komuniti masing-masing.
Berasal daripada keluarga sederhana dan membesar dalam komuniti Orang Asli, cabaran kehidupan tidak pernah mematahkan semangat kedua-dua pelajar itu untuk melanjutkan pengajian di Universiti Putra Malaysia (UPM).
Bagi Azie Darhani yang kini mengikuti Bachelor Pengurusan Alam Sekitar di Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar UPM, pengalaman sebagai anak sulung banyak mengajarnya erti berdikari selain menjadi pendorong untuk membuktikan kemampuan anak Orang Asli dalam bidang profesional.
“Saya mahu mengubah nasib keluarga dan berbakti kepada komuniti saya.
“Sebagai anak sulung, saya mahu menjadi contoh kepada adik-adik dan generasi muda Orang Asli yang lain bahawa kami juga mampu menguasai bidang profesional,” katanya.
Menurutnya, bidang alam sekitar dipilih kerana ia antara bidang yang kurang menjadi pilihan anak muda di kampungnya, sedangkan masyarakat Orang Asli mempunyai pengetahuan dan hubungan yang rapat dengan alam sekitar serta hutan sejak turun-temurun.
Katanya, pengetahuan tradisional yang dimiliki komuniti Orang Asli perlu digabungkan dengan ilmu, inovasi dan teknologi supaya dapat dimanfaatkan secara lebih meluas.
“Saya mahu melengkapkan diri dengan ilmu alam sekitar supaya pengetahuan tradisional dalam komuniti kami dapat diperkukuh dengan inovasi dan teknologi terkini.
“Saya mahu membuktikan sektor ini mempunyai potensi ekonomi yang luas jika diuruskan secara saintifik,” katanya.
Sementara itu, bagi pelajar Bachelor Pendidikan Bahasa Melayu dengan Kepujian, Fakulti Pendidikan UPM, Hazaril Hakimi Hassan, kejayaan memperoleh keputusan 4.00 dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) menjadi pembakar semangat untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Hazaril yang merupakan Pelajar Terbaik Kebangsaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025 Kategori Orang Asli memilih bidang pendidikan kerana kecintaannya terhadap bahasa Melayu sejak di bangku sekolah selain menyimpan impian untuk menjadi pendidik sebelum melangkah lebih jauh sebagai pensyarah dalam bidang Bahasa Melayu.
“Pendorong terbesar saya adalah untuk mengubah nasib keluarga dan menjadi contoh kepada adik-adik.
“Saya memilih bidang Pendidikan Bahasa Melayu kerana mempunyai rasa cinta terhadap bahasa sejak sekolah rendah dan mahu menjadi pendidik yang mampu memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya.
Menurutnya, pendidikan bukan sahaja membuka peluang untuk mengubah kehidupan keluarga, malah mampu menjadi laluan untuk anak Orang Asli meneroka bidang kerjaya yang lebih luas.
Beliau berharap kisahnya dapat memberi keyakinan kepada lebih ramai anak Orang Asli supaya tidak melihat latar belakang keluarga atau lokasi tempat tinggal sebagai penghalang untuk melanjutkan pengajian.
“Pelajar Orang Asli perlu diberikan suntikan tentang kelebihan pendidikan dan dibantu dalam memilih jalan untuk melanjutkan pelajaran.
“Mereka juga perlu didedahkan dengan bantuan yang disediakan kerajaan bagi membantu pendidikan Orang Asli,” katanya. –UTUSAN











