ALOR SETAR: Kerajaan akan terus memastikan kelangsungan peniaga kecil tempatan tidak terjejas meskipun giat menarik kemasukan pelaburan asing terutama yang berimpak tinggi ke negara ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelaburan besar khususnya dalam bidang teknologi, kecerdasan buatan (AI), komputer dan semikonduktor penting untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara.
Beliau berkata, kerajaan tidak mahu kemasukan syarikat asing sehingga boleh menyebabkan peniaga kecil tempatan seperti pengusaha kedai makan, kedai kopi dan kedai gunting rambut terjejas.
“Saya tak mahu ganggu peniaga-peniaga kecil. Itulah sebabnya saya beritahu Perdana Menteri China, Li Qiang, saya kata boleh tak kita bagi kerjasama, kurangkan sikit.
“Yang syarikat besar tak apalah, kita tak tahu nak bedah mata. Saya kata tadi, yang guna AI, teknologi baharu bagi orang celik tak apa, saya setuju juga. Kita belanja dan labur sikit pun tak apa.
“Tetapi untuk kedai kopi, kedai rambut, saya tak mahulah orang asing. Kita boleh buat sendiri, kita bagi jalanlah,” katanya pada Majlis Perasmian Skim Usahawan Bangkit Negeri Kedah, di sini hari ini.
Ujar Perdana Menteri, pendirian itu tidak bermaksud Malaysia menolak hubungan dagang dan pelaburan dengan negara lain, sebaliknya kerjasama tersebut perlu memberi manfaat kepada rakyat.
Tambah beliau, China kini mempunyai kemajuan teknologi dan AI yang tinggi, malah terdapat teknologi baharu yang berpotensi membantu golongan orang kurang upaya (OKU) penglihatan.
Katanya, perkembangan teknologi itu menunjukkan bagaimana kemajuan AI dan teknologi tinggi boleh dimanfaatkan secara terus untuk membantu rakyat. – UTUSAN











