GAUN hitam ikonik yang pernah dipakai mendiang Puteri Diana ketika menghadiri satu majlis pada 1994 bakal dilelong pada Disember ini, hampir tiga dekad selepas ia menjadi perhatian dunia.
Gaun malam sutera tanpa tali itu dijangka dijual pada harga sehingga 220,000 pound (RM1.24 juta) dalam lelongan yang dikendalikan Sotheby’s pada 9 Disember ini.
Gaun berkenaan terkenal dengan jolokan ‘gaun dendam’ apabila Diana memakainya beberapa jam selepas suaminya ketika itu, Putera Charles, mengakui berlaku curang dalam perkahwinan mereka.
Kemunculan Diana di Galeri Serpentine, London, pada 1994 dengan mengenakan gaun hitam berkenaan menjadi antara momen paling ikonik dalam sejarah fesyen diraja Britain.
Rumah lelong Sotheby’s berkata, ia merupakan kali pertama gaun berkenaan dilelong sejak 1997, ketika Diana menjual 79 helai koleksi pakaiannya bagi mengumumpul dana untuk badan amal.
Ketua global bahagian beg tangan dan fesyen Sotheby’s, Morgane Halimi, berkata Diana memahami fesyen bukan sekadar soal penampilan, sebaliknya mampu menjadi satu bentuk komunikasi.
“Dengan caranya sendiri, Puteri Diana menjadikan gaun itu sebagai mesej paling berkuasa yang pernah disampaikannya, dalam satu episod paling mendapat perhatian dan sarat emosi dalam hidupnya.
“Dia hadir dalam satu detik ketika sebahagian besar kisah hidupnya seolah-olah diceritakan oleh orang lain, namun melalui apa yang dipilih untuk dipakai, dia mengambil semula hak untuk menentukan kisahnya sendiri,” kata Halimi.

Pada malam majlis makan malam kutipan dana di Galeri Serpentine itu, sebuah dokumentari turut disiarkan yang menyaksikan Putera Wales ketika itu, kini Raja Charles III, mengaku berlaku curang terhadap Diana selepas bertahun-tahun hubungan mereka menjadi perhatian media.
Kandungan wawancara ITV itu dibocorkan beberapa hari sebelumnya, menyebabkan kemunculan pertama Diana di khalayak ramai selepas wawancara tersebut ditafsirkan secara meluas sebagai respons beliau.
KUMPUL DANA AMAL
Diana membuat perubahan pada saat akhir sebelum menghadiri majlis berkenaan apabila mengetepikan gaun Valentino yang kurang menyerlah dan memilih gaun berpotongan bahu terdedah dengan labuh tidak simetri serta ekor sifon, rekaan pereka dari Greece, Christina Stambolian.
Beliau melengkapkan penampilan itu dengan rantai diraja, beg tangan hitam dan kasut tumit tinggi hitam.
Jurugayanya ketika itu, Anna Harvey, dilaporkan berkata Diana ‘mahu kelihatan seperti bernilai jutaan dolar’.
Gaun itu akan dipamerkan di beberapa lokasi di seluruh dunia sebelum dilelong. Ia akan dipamerkan di bilik pameran Sotheby’s di London dari 18 hingga 24 September, sebelum dibawa ke Hong Kong pada awal Oktober, Geneva pada awal November dan kemudian ke New York untuk dilelong.
Gaun itu kali terakhir dilelong oleh Diana sendiri sebagai sebahagian daripada puluhan barangan yang dijual bagi mengumpul dana untuk badan amal berkaitan kanser dan AIDS.
Gaun berkenaan dibeli oleh Briege Mackenzie, yang ketika itu menetap di Glasgow, bersama suaminya, Graeme, pada harga 39,098 pound (RM214,939).

Ketika itu, Mackenzie memberitahu akhbar The Independent mereka membeli gaun berkenaan bukan untuk dipakai tetapi kerana hasil jualan itu disalurkan kepada badan amal Children First.
Beliau berkata, keputusan untuk menjual gaun itu dibuat selepas kematian suaminya, dan proses membida gaun berkenaan sebelum ini merupakan ‘antara hari paling bermakna dalam kehidupan mereka’.
Sotheby’s berkata,naskhah jarang ditemui bagi katalog lelongan tahun 1997 yang ditandatangani Diana dan Stambolian turut akan dijual bersama gaun itu.
Katalog berkenaan turut menyatakan idea untuk melelong gaun tersebut dicetuskan oleh Putera William.











