JAKARTA: Menteri Perhutanan Indonesia, Raja Juli Antoni mengumumkan pembatalan lesen perniagaan lima syarikat sebagai sebahagian daripada usaha penguatkuasaan undang-undang berhubung kebakaran hutan dan tanah di Kalimantan.
“Ini adalah sebahagian daripada arahan Presiden Prabowo Subianto untuk penguatkuasaan undang-undang tanpa pilih kasih, tindakan yang bukan hanya ditujukan kepada pemain kecil, tetapi turut tegas terhadap entiti besar,” kata Raja Antoni di Jakarta pada Selasa.
Lima syarikat yang lesen mereka dibatalkan ialah PT Wana Lestari Jaya yang beroperasi di Sanggau dan Sekadau, Kalimantan Barat dengan kawasan konsesi kira-kira 29,140 hektar. Pembatalan itu turut melibatkan PT Prima Multi Buana di Banjar, Kalimantan Selatan (11,882 hektar )dan PT Pancaran Wana Nusa di Lamandau, Kalimantan Tengah, (3,812 hektar).
Turut terlibat ialah PT Grace Putri Perdana di Lamandau, Sukamara dan Ketapang (28,990 hektar) dan PT Babugus Wahana Lestari di Kapuas, Kalimantan Tengah (18,640 hektar).
Raja Antoni berkata, keseluruhan kawasan konsesi lima syarikat itu berjumlah 92,464 hektar.
Beliau berkata, kawasan yang terbakar bagi setiap syarikat masing-masing direkodkan seluas 47.84 hektar bagi PT Wana Lestari Jaya; PT Prima Multi Buana (18.20 hektar); PT Pancaran Wana Nusa (497 hektar); PT Grace Putri Perdana (374.99 hektar) dan PT Babugus Wahana Lestari (231.10 hektar).
Keseluruhan kawasan terbakar berjumlah 1,169.13 hektar.
Menurut Raja Antoni, pembatalan lesen itu dibuat susulan pelanggaran yang dilakukan syarikat berkenaan.
Beliau menegaskan pemegang konsesi atau pemegang Lesen Perniagaan Pemanfaatan Hutan (PBPH) berkewajipan melindungi kawasan masing-masing dan melaksanakan tanggungjawab yang ditetapkan. – AGENSI











