WASHINGTON: Ribuan penerbangan di seluruh Amerika Syarikat (AS) mengalami gangguan pada Isnin, dengan penerbangan masuk dihentikan selama beberapa jam di lapangan terbang utama di Pantai Timur, sebelum Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) menyelesaikan masalah telekomunikasi pada lewat petang.
Ia termasuk penerbangan domestik syarikat penerbangan United Airlines dari sebuah lapangan terbang utama di Pantai Timur Amerika Syarikat (AS) dibatalkan buat sementara waktu.
Gangguan itu berlaku selepas kontraktor binaan secara tidak sengaja terpotong kabel gentian optik milik Verizon, sekali gus mencetuskan gangguan penerbangan besar-besaran di seluruh wilayah Timur Laut negara itu.
Arahan penggantungan penerbangan di darat terpaksa dikuatkuasakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Newark Liberty (EWR), Teterboro (TEB), Lapangan Terbang Antarabangsa Philadelphia (PHL) dan Lapangan Terbang Antarabangsa John F. Kennedy (JFK) dengan sesetengah kelewatan dilaporkan mencecah sehingga tujuh jam.
Jadual penerbangan kembali beroperasi seperti biasa selepas laluan telekomunikasi berkenaan berjaya dibaik pulih dan semua operasi lapangan terbang di kawasan Timur Laut telah disambung semula, menurut Setiausaha Pengangkutan AS, Sean Duffy menerusi hantaran di platform X.
“Ia akan mengambil sedikit masa untuk menyelesaikan semua kelewatan sedia ada, jadi sila semak dengan syarikat penerbangan anda untuk mendapatkan maklumat terkini,” tulis beliau.
Penerbangan yang berlepas dari Lapangan Terbang LaGuardia (LGA) di New York, Lapangan Terbang Antarabangsa Logan di Boston (BOS) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Philadelphia (PHL) turut berdepan kelewatan semasa huru-hara tersebut berlaku.
Pentadbir Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA), Bryan Bedford berkata, insiden pemotongan kabel gentian optik sepanjang 182 meter itu berlaku di kawasan antara New Brunswick dan Newark, New Jersey.
“Seseorang telah menggali dan memotongnya,” kata Bedford kepada wartawan menerusi rakaman video oleh CBS News.
Duffy menjelaskan bahawa pekerja syarikat perkhidmatan kereta api Amtrak secara tidak sengaja telah memutuskan laluan gentian optik berkenaan semasa kerja-kerja pembinaan yang kemudian mencetuskan kegagalan sistem telekomunikasi dan gangguan penerbangan meluas.
“Insiden ini menegaskan keperluan untuk peruntukan dana tambahan bagi memodenkan infrastruktur lama dan mengelakkan gangguan seumpama ini daripada berlaku pada masa hadapan,” tambah Duffy di platform X.
Gangguan penerbangan berkenaan berlaku pada hari yang sama sekitar 130 pemimpin dunia dan puluhan menteri dijadualkan tiba di New York bagi menghadiri perhimpunan tahunan peringkat tinggi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA). – AGENSI











