PADA 25 Jun 2026, satu lembaran baharu tercipta dalam perjalanan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) apabila Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, yang juga merupakan Canselor UPNM, berkenan akan cadangan penamaan Pusat Kecemerlangan Penyelidikan dan Inovasi Sultan Ibrahim (PaKSI).
Perkenan tersebut merupakan satu penghormatan yang amat besar kepada UPNM. Pada masa yang sama, nama yang membawa martabat sedemikian hadir bersama amanah dan tanggungjawab yang besar.
PaKSI dibangunkan untuk memperkukuh keupayaan penyelidikan dan inovasi UPNM serta menghasilkan sumbangan yang bermakna kepada pertahanan, keselamatan dan kepentingan strategik negara.
Pembangunan PaKSI mempunyai hubungan yang jelas dengan Pelan Strategik UPNM30, iaitu pelan strategik yang memandu hala tuju pembangunan universiti menuju tahun 2030 dalam merealisasikan aspirasi UPNM sebagai Universiti Pertahanan Primier.
UPNM30 memberikan tumpuan kepada pengukuhan kekuatan dan keupayaan universiti agar UPNM terus relevan, berdaya saing dan mampu memberikan sumbangan yang lebih besar kepada negara.
Dalam kerangka inilah pembangunan PaKSI menjadi antara langkah strategik UPNM untuk menterjemahkan perancangan kepada pelaksanaan yang nyata.
Idea pembangunan pusat kecemerlangan ini dicetuskan di bawah kepimpinan Leftenan Jeneral Datuk Wira Arman Rumaizi Ahmad, Naib Canselor UPNM, sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh ekosistem penyelidikan dan inovasi berasaskan kekuatan serta keunikan UPNM dalam bidang pertahanan dan keselamatan.
PaKSI sebagai Manifestasi Aspirasi UPNM30
Salah satu daripada lima teras strategik UPNM30 ialah pusat kecemerlangan. Teras ini memberikan penekanan kepada pengukuhan bidang kepakaran dan keupayaan institusi agar kekuatan universiti dapat digerakkan secara lebih tersusun serta diterjemahkan kepada pencapaian yang memberi nilai.
Dalam konteks inilah PaKSI menjadi antara manifestasi penting UPNM30. Penubuhannya bukan sekadar mewujudkan sebuah entiti baharu, tetapi merupakan langkah strategik untuk menghimpunkan kepakaran penyelidikan UPNM dalam bidang pertahanan dan keselamatan di bawah satu payung yang lebih berfokus.
PaKSI membawa aspirasi untuk mengukuhkan peranan UPNM sebagai pusat rujukan dalam bidang pertahanan dan keselamatan negara, di samping menjadi platform kolaborasi antara akademia, industri dan agensi kerajaan bagi pembangunan dasar dan inovasi strategik. Pembangunan PaKSI turut memberikan fokus yang lebih jelas kepada bidang penyelidikan selaras dengan bidang tujahan utama UPNM.
Justeru, PaKSI dalam kerangka UPNM30 merupakan usaha untuk melonjakkan kekuatan penyelidikan dan inovasi dalam bidang yang menjadi identiti dan keunikan UPNM serta mengarahkannya kepada keperluan strategik negara.
Bidang Penyelidikan yang Menjawab Cabaran Masa Hadapan
Pertahanan dan keselamatan hari ini berkembang jauh melangkaui pendekatan konvensional. Perkembangan kecerdasan buatan, keselamatan siber, teknologi autonomi serta perubahan persekitaran strategik dan geopolitik telah mewujudkan cabaran baharu yang memerlukan pendekatan penyelidikan merentasi disiplin.
Seiring dengan perkembangan tersebut, ekosistem penyelidikan PaKSI distrukturkan di bawah dua kluster utama, iaitu Sains dan Teknologi serta Strategi Pertahanan dan Keselamatan.
Kedua-dua kluster ini menghimpunkan bidang kepakaran yang saling melengkapi dalam menangani keperluan pertahanan dan keselamatan semasa serta masa hadapan.
Di bawah kluster Sains dan Teknologi, bidang Kenderaan Pertahanan dan Persenjataan merangkumi Pesawat dan Aeroangkasa, Kenderaan Tempur serta Teknologi Persenjataan. Bidang Prestasi Manusia (Human Performance) dan CBRNe (Chemical, Biological, Radiological, Nuclear and Explosives) pula merangkumi aspek bioperubatan dan kesihatan serta bidang berkaitan ancaman kimia, biologi, radiologi, nuklear dan bahan letupan.
Bidang Siber, Elektronik dan Robotik merangkumi Elektronik dan Komunikasi, Pertahanan Siber serta Robotik dan Sistem Autonomi, manakala bidang Naval dan Maritim memberikan tumpuan kepada Kejuruteraan Tentera Laut, Pengawasan dan Keselamatan Maritim serta Teknologi Bawah Air.
Selari dengan perkembangan teknologi semasa, Kepintaran Buatan turut menjadi bidang kepakaran dengan fokus kepada Pembelajaran Mesin dan Analitik Data, Pemprosesan Bahasa Semula Jadi serta Automasi dan Sistem Pintar.
Turut melengkapi kluster Sains dan Teknologi ialah bidang Pentropikalan, yang memberikan perhatian kepada Pertahanan dan Keselamatan Tropika, Persekitaran Operasi dan Ketahanan Tropika serta Pengurusan Risiko dan Bencana Tropika.
Di bawah kluster Strategi Pertahanan dan Keselamatan, bidang Kajian Strategi dan Pertahanan merangkumi Kajian Peperangan Khas dan Kajian Konflik, manakala bidang Kajian Keselamatan memberikan tumpuan kepada Keselamatan Dalam Negara dan Keselamatan Antarabangsa.
Kedua-dua bidang ini melengkapi dimensi sains dan teknologi melalui penelitian terhadap peperangan, konflik serta cabaran keselamatan pada peringkat nasional dan antarabangsa.
Gabungan kedua-dua kluster tersebut memperlihatkan pendekatan penyelidikan PaKSI yang menghubungkan sains dan teknologi dengan dimensi strategi, pertahanan dan keselamatan.
Pendekatan ini membolehkan isu pertahanan dan keselamatan diteliti secara lebih menyeluruh, daripada teknologi, faktor manusia dan persekitaran operasi kepada peperangan, konflik serta cabaran keselamatan dalam negara dan antarabangsa. – UTUSAN
Bersambung
PROFESOR Datuk Dr. Norhasni Zainal Abiddin ialah Penolong Naib Canselor Kanan (Pembangunan Strategi), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).











