UPNM jadikan STEM teras Sekolah Angkat Madani

UPNM jadikan STEM teras Sekolah Angkat Madani

ARMAN Rumaizi Ahmad bersama para hadirin di Majlis Penyerahan Sekolah Angkat Madani 2025 UPNM di SK Telok Mas, Melaka hari ini. - UTUSAN/AMRAN ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) mempertaruhkan pemerkasaan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) sebagai teras utama di dua buah sekolah di negeri ini menerusi pelaksanaan Projek Sekolah Angkat Madani 2025.

Naib Canselor UPNM, Leftenan Jeneral Datuk Arman Rumaizi Ahmad berkata, ia bertujuan memperkukuh hubungan strategik antara institusi pengajian tinggi (IPT) dan sekolah, khususnya bagi melahirkan pelajar yang menguasai kemahiran STEM selaras keperluan pembangunan negara dan cabaran global.

Beliau berkata, penglibatan UPNM bukan sekadar menyokong agenda Malaysia Madani malah merupakan langkah strategik negara membina bakat awal dalam bidang sains dan teknologi bermula dari peringkat sekolah.

“STEM bukan lagi satu pilihan dalam sistem pendidikan negara, sebaliknya telah menjadi keperluan kritikal bagi memastikan Malaysia kekal berdaya saing dalam mendepani cabaran global yang semakin kompleks.

“Melalui pelaksanaan Sekolah Angkat Madani ini, UPNM mengambil peranan strategik untuk menyemai minat dan kemahiran STEM seawal peringkat sekolah agar pelajar lebih bersedia menghadapi masa depan berteraskan teknologi dan inovasi,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Sekolah Angkat Madani 2025 UPNM membabitkan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Tijah dan Sekolah Kebangsaan (SK) Telok Mas di SK Telok Mas di sini, hari ini.

Arman Rumaizi berkata, UPNM memperuntukkan sebanyak RM100,000 bagi setiap sekolah dengan fokus kepada intervensi akademik dan STEM termasuk penganjuran klinik pembelajaran, pendedahan teknologi pertahanan dan kejuruteraan asas serta program bimbingan berteraskan inovasi dan penyelesaian masalah.

Arman Rumaizi turut mengadakan lawatan ke Kampung Angkat Madani di Alai melibatkan pelaksanaan projek pembangunan bernilai RM1 juta.

Antara projek fizikal utama yang dilaksanakan di kampung tersebut termasuk pembinaan gelanggang futsal berbumbung, pembaikan gerai ekonomi Kampung Alai, pembinaan tugu Kampung Alai, pemasangan lampu di kawasan perkuburan baharu serta pemasangan karpet di Masjid Al-Falihin.

Selain projek fizikal, pelbagai inisiatif bukan fizikal turut dilaksanakan seperti program akademik dan pembinaan sahsiah di SK Alai, selain program kesihatan untuk penduduk yang akan diteruskan sehingga hujung tahun ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN