PETALING JAYA: Lebih 100 pakar akademik, penyelidik, pemain industri, agensi kerajaan serta komuniti pertahanan dari dalam dan luar negara berhimpun pada
Persidangan Antarabangsa Pertahanan, Kejuruteraan dan Keselamatan (IDEAS) 2026 di Putrajaya, hari ini.
Persidangan antarabangsa selama dua hari anjuran Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) itu menjadi platform strategik membincangkan perkembangan terkini dalam bidang teknologi pertahanan, keselamatan siber, kecerdasan buatan (AI) dan kejuruteraan maju bagi memperkukuh keupayaan serta kesiapsiagaan pertahanan negara.
Bertemakan ‘IDEAS ke Arah Pertahanan Kukuh, Negara Selamat’, persidangan tersebut menghimpunkan pelbagai pihak berkepentingan dalam sektor pertahanan dan keselamatan untuk berkongsi kepakaran, hasil penyelidikan serta inovasi yang berpotensi menyokong keperluan pertahanan masa hadapan.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPNM, Prof. Dr. Aidy Ali yang menegaskan kemajuan teknologi dan aspek keselamatan negara perlu bergerak seiring dalam menghadapi cabaran geopolitik global yang semakin kompleks.
Menurut beliau, selaras dengan aspirasi Pelan Strategik UPNM30, universiti itu komited memperkukuh peranannya sebagai institusi peneraju dalam pendidikan, penyelidikan dan inovasi pertahanan negara.
“Kita mahu memastikan kerjasama strategik antara akademia, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan industri sentiasa dinamik supaya hasil penyelidikan yang dihasilkan bukan sahaja relevan dan praktikal, malah mampu menyokong kesiapsiagaan pertahanan negara secara berterusan,” katanya.
Persidangan yang dianjurkan oleh Fakulti Kejuruteraan UPNM itu turut mendapat kerjasama strategik daripada Universitas Pertahanan Republik Indonesia (UNHAN) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
IDEAS 2026 mengabungkan tiga persidangan antarabangsa utama iaitu International Conference on Integrated Engineering and Technology (INTCET), International Defence and Security Technology Conference (DSTC) dan International Symposium on Damage Mechanics of Materials and Structures (SDMMS).
Sementara itu, Dekan Fakulti Kejuruteraan UPNM merangkap Pengerusi IDEAS 2026, Prof. Madya Dr. Mohd Taufik Jusoh @ Tajudin berkata, persidangan berkenaan berfungsi sebagai platform yang merapatkan jurang antara penyelidikan akademik dengan keperluan sebenar sektor pertahanan.
Beliau berkata, keunikan IDEAS 2026 terletak pada keupayaannya menterjemahkan teori dan penemuan penyelidikan kepada penyelesaian praktikal yang boleh dimanfaatkan dalam bidang keselamatan dan pertahanan negara.
“IDEAS 2026 bukan sekadar ruang perkongsian penemuan teknikal, tetapi pemangkin kepada pembentukan kolaborasi strategik berimpak tinggi yang menghubungkan inovasi akademik dengan keperluan taktikal di lapangan,” katanya.
Selain sesi pembentangan penyelidikan, persidangan itu turut menampilkan ucaptama oleh Timbalan Panglima Tentera Udara, Leftenan Jeneral Datuk Nur Hafis Abdul Karim TUDM serta Kolonel Czi (K) Dr. Hidayati dari UNHAN yang menyentuh perkembangan teknologi pertahanan udara dan kerjasama strategik serantau.
Peserta juga dijadualkan mengikuti lawatan teknikal ke Pusat Hidrografi Nasional di Pelabuhan Klang dan Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang bagi mendapatkan pendedahan secara langsung mengenai pengurusan aset, ekosistem teknologi dan keupayaan operasi pertahanan laut serta udara negara.
Penganjuran IDEAS 2026 dilihat mampu memperkukuh ekosistem penyelidikan pertahanan negara selain mengangkat kedudukan Malaysia sebagai hab kecemerlangan teknologi, kejuruteraan dan pertahanan di peringkat serantau. – UTUSAN










