Rahsiakan sakit mental daripada ibu

Rahsiakan sakit mental daripada ibu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Soalan:

Saya penghidap kemurungan (anxiety) dan memerlukan makan ubat secara rutin. Ibu pernah bertanyakan tentang ubat itu. Saya rahsia dari ibu kerana dia tidak percaya tentang kesihatan mental. Apa harus saya lakukan jika dia tahu saya ada masalah mental?

Anak runsing

Jawapan:

Ada individu memilih merahsiakan rawatan kesihatan mental kerana bimbang keluarga tidak memahami atau menerima keadaan tersebut. Namun, jika ibu akhirnya mengetahui, perkara ini boleh dijelaskan secara tenang tanpa rasa malu atau bersalah. Berikut tip untuk anda:

Jangan panik apabila ibu bertanya – Jika ibu bertanya tentang ubat yang diambil, cuba bertenang dan jangan terus mempertahankan diri atau marah. Fikirkan maklumat yang anda selesa berkongsi. Anda tidak perlu menceritakan semuanya dalam satu perbualan. Berikan diri ruang untuk menjelaskan keadaan secara berperingkat.

Terangkan tentang kesihatan mental – Jika ibu kurang memahami kesihatan mental, terangkan secara mudah bahawa keadaan seperti anxiety boleh mempengaruhi emosi, fikiran dan tubuh badan. Jelaskan mendapatkan rawatan bukan tanda kelemahan, sebaliknya satu usaha untuk menjaga kesihatan diri, sama seperti rawatan kesihatan fizikal.

Pilih masa yang sesuai – Jangan menerangkan perkara ini ketika ibu sedang marah. Pilih masa yang tenang untuk berbincang. Anda boleh nyatakan anda sedang mendapatkan rawatan dan anda tidak memberitahu ibu kerana khuatir ibu risau tentang kesihatan anda. Gunakan bahasa yang lembut dan mudah difahami.

Tetapkan batas perkongsian – Walaupun ibu ialah orang terdekat, anda berhak menentukan sejauh mana maklumat peribadi mahu dikongsikan. Jika belum bersedia untuk bercerita, beritahu ibu dengan baik bahawa anda memerlukan masa. Menjaga privasi bukan bermaksud anda tidak menghormati ibu.

Jangan hentikan ambil ubat – Jika ibu memberikan reaksi negatif, jangan menghentikan atau mengubah ubat sendiri. Sebarang perubahan rawatan perlu dibincangkan dengan doktor atau profesional kesihatan yang merawat anda. Keselamatan dan kestabilan diri perlu menjadi keutamaan.

Beri ibu masa untuk memahami – Ibu mungkin terkejut, takut atau sukar menerima keadaan tersebut kerana kurang pengetahuan tentang kesihatan mental. Berikan masa untuk beliau memahami. Jika perlu, minta bantuan doktor atau profesional untuk menerangkan keadaan dan rawatan kepada keluarga.

Kesimpulan, mengetahui keadaan kesihatan mental bukan sesuatu yang memalukan. Teruskan rawatan, jaga diri dan berikan keluarga masa untuk memahami. Mendapatkan bantuan ialah tanda keberanian, bukan kelemahan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×