Merdeka Award : UMT bangga lDr. Chan Eng Heng

Merdeka Award 2026: UMT bangga legasi Prof. Dr. Chan Eng Heng terus hidup menerusi SEATRU

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menyifatkan penganugerahan Merdeka Award 2026 kepada Profesor Dr. Chan Eng Heng dalam kategori Outstanding Contribution to Environment and Planetary Health sebagai pengiktirafan bermakna terhadap kecemerlangan penyelidikan, pemuliharaan dan sumbangan berterusan dalam melindungi spesies penyu negara.

Penganugerahan berprestij itu bukan sahaja mengiktiraf sumbangan Eng Heng sepanjang lebih empat dekad dalam bidang penyelidikan dan konservasi penyu, malah mencerminkan nilai sebuah penyelidikan yang konsisten, berasaskan bukti saintifik dan diteruskan merentasi generasi.

Bagi UMT, pengiktirafan tersebut mempunyai makna yang amat istimewa kerana perjalanan akademik dan legasi beliau berkait rapat dengan universiti ini, khususnya melalui penubuhan Sea Turtle Research Unit (SEATRU) bersama Profesor Madya Liew Hock Chark pada tahun 1984.

Bermula dengan penyelidikan terhadap penyu belimbing di Terengganu, SEATRU berkembang menjadi sebuah ekosistem penyelidikan dan pemuliharaan yang menggabungkan penyelidikan saintifik, pemantauan populasi, perlindungan habitat, pendidikan, pembangunan bakat serta penglibatan masyarakat.

Penyelidikan awal yang dijalankan oleh Eng Heng dan beberapa rakan penyelidik lain turut menyediakan asas saintifik penting kepada usaha perlindungan penyu belimbing, termasuk langkah penubuhan Rantau Abang Restricted Fishing Zone. 

Lebih penting, legasi penyelidikan tersebut tidak terhenti selepas Eng Heng bersara daripada universiti pada 2009 , sebaliknya, UMT terus memastikan penyelidikan berkaitan penyu dikembangkan dan diwariskan kepada generasi penyelidik seterusnya.

Antara kesinambungan paling signifikan ialah usaha pemantauan penyu di Chagar Hutang,Pulau Redang yang telah berlangsung sejak awal 1990-an dan menjadi sebahagian usaha penting daripada program penyelidikan serta konservasi UMT.

Program sukarelawan SEATRU yang diperkenalkan pada 1998 pula memperluas penglibatan masyarakat dengan memberi peluang kepada sukarelawan untuk terlibat secara langsung dalam kerja pemantauan, penyelidikan dan pemuliharaan penyu.

Perjalanan ini memperlihatkan bahawa kekuatan penyelidikan UMT tidak hanya diukur melalui penerbitan atau pencapaian pada sesuatu tempoh, tetapi melalui keupayaan penyelidikan tersebut untuk menghasilkan pengetahuan, mempengaruhi pemuliharaan, membina kapasiti manusia dan diteruskan secara berterusan dalam jangka panjang.

 

Bagi UMT, kejayaan Eng Heng merupakan contoh jelas bagaimana penyelidikan asas yang dibina dengan tekun sejak puluhan tahun mampu berkembang menjadi sebuah legasi ilmu

yang memberi manfaat kepada negara.

 

Pada masa yang sama, pencapaian ini memperlihatkan bahawa pengiktirafan terhadap seorang penyelidik turut mencerminkan kekuatan ekosistem penyelidikan yang dibangunkan

secara kolektif oleh universiti, penyelidik, pelajar, kakitangan lapangan, agensi kerajaan, sektor korporat, komuniti setempat dan sukarelawan.

 

Lebih empat dekad selepas SEATRU ditubuhkan, ekosistem tersebut terus melahirkan generasi penyelidik dan menyediakan ruang kepada pelajar untuk memperoleh pengalaman penyelidikan sebenar di lapangan.

 

Ia juga membuktikan bahawa penyelidikan yang mempunyai kesinambungan mampu menghasilkan impak yang jauh melangkaui tempoh perkhidmatan seseorang ahli akademik.

 

Dalam konteks UMT sebagai universiti yang berteraskan ilmu kelautan dan sumber akuatik, kesinambungan penyelidikan seperti ini amat penting bagi memastikan khazanah marin negara terus dikaji secara saintifik, dipantau secara sistematik dan dilindungi berdasarkan bukti.

 

Penganugerahan Merdeka Award kepada Eng Heng juga menjadi dorongan kepada UMT  untuk terus memperkukuh budaya penyelidikan yang berimpak, khususnya penyelidikan

yang mampu menjawab cabaran alam sekitar, menyokong pembangunan mampan dan memberi manfaat kepada masyarakat.

 

UMT percaya bahawa kejayaan seorang ahli akademik bukan semata-mata terletak pada pencapaian individu, sebaliknya turut dinilai melalui ilmu yang diwariskan, penyelidik yang dilahirkan, institusi yang dibangunkan serta perubahan yang berjaya diwujudkan melalui penyelidikan tersebut.

 

Dalam konteks ini, legasi beliau melalui SEATRU menjadi contoh bagaimana sesuatu usaha penyelidikan yang dimulakan dengan ketekunan dan visi jangka panjang mampu terus berkembang walaupun generasi pengasasnya tidak lagi berada di universiti.

 

UMT turut merakamkan penghargaan kepada Profesor Madya Liew Hock Chark selaku pengasas bersama SEATRU serta seluruh penyelidik, akademik, kakitangan lapangan, pelajar dan sukarelawan yang telah menjadi sebahagian daripada perjalanan panjang penyelidikan dan konservasi penyu.

 

Sumbangan pelbagai pihak inilah yang memastikan usaha penyelidikan dan pemuliharaan penyu dapat diteruskan, diperkukuh serta disesuaikan dengan cabaran semasa.

 

Penganugerahan Merdeka Award 2026 kepada beliau akhirnya bukan sekadar pengiktirafan terhadap pencapaian seorang tokoh penyelidik, tetapi turut menjadi bukti  bahawa penyelidikan yang konsiste serta berjangka panjang dan diwariskan kepada generasi seterusnya mampu membina legasi yang terus memberi manfaat kepada negara.

 

UMT merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Chan Eng Heng atas penganugerahan tersebut dan menyifatkannya sebagai satu kebanggaan kepada komuniti akademik, penyelidikan dan konservasi negara.

Bagi UMT, legasi terbaik seorang ahli akademik ialah apabila ilmu yang dibangunkan tidak terhenti bersama kerjayanya, sebaliknya terus hidup melalui penyelidikan, institusi dan generasi baharu yang meneruskan perjuangan tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×