Jangan tolak tawaran belajar jika ada masalah kewangan - NC USM

Jangan tolak tawaran belajar jika ada masalah kewangan – NC USM

ABDUL Rahman Mohamed (dua dari kanan) menyerahkan barangan keperluan asrama kepada beberapa pelajar ketika sidang akhbar semasa sesi kemasukan pelajar baharu untuk Program Pengajian Ijazah Sarjana Muda Bagi Sidang Akademik 2026/2027 di Dewan Utama Desasiswa USM, Pulau Pinang hari ini. - UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Universiti Sains Malaysia (USM) komited untuk memastikan aspek kebajikan, kesejahteraan, keselesaan, pembangunan bakat dan pengalaman kehidupan pelajar sentiasa diberi keutamaan.

Naib Canselornya, Prof. Datuk Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed berkata, dalam hal ini, pihak universiti akan terus berusaha untuk menyediakan persekitaran pembelajaran serta kehidupan kampus yang inklusif, kondusif dan sejahtera agar setiap pelajar dapat mencapai potensi terbaik sepanjang tempoh pengajian mereka.

“Sebab itulah saya tekankan bahawa, jika dapat tawaran (melanjutkan pengajian ke USM), jangan sesekali tolak terutamanya jika ia disebabkan oleh masalah kewangan semata-mata.

“Maksud saya, maklumkan kepada pihak universiti iaitu pada USM apa masalahnya. Katakanlah dari rumah hendak datang ke sini (universiti) tak ada duit, maka, kita akan pergi ambil. Hendak bayar, beli barang dan sebagainya, ada masalah, kita akan bagi (duit).

“Kita akan pastikan bahawa kebajikan anak-anak ini sentiasa terjaga. Bukan sahaja B40 (golongan berpendapatan rendah), tetapi pelajar dari kumpulan M40 (berpendapatan sederhana) pun kita akan bantu,” katanya pada sesi kemasukan pelajar baharu untuk Program Pengajian Ijazah Sarjana Muda bagi Sidang Akademik 2026/2027 di Dewan Utama Desasiswa di sini, hari ini.

Secara keseluruhannya, seramai 5,804 calon mendaftar bagi mengikuti sesi pengajian tersebut yang dijalankan secara sepenuh masa pada sesi pengajian kali ini dengan 3,913 daripada mereka ditempatkan di kampus induk di sini, manakala selebihnya ditempatkan di Kampus Kejuruteraan di Nibong Tebal dan Kampus Kesihatan di Kubang Kerian, Kelantan.

Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata, untuk pengambilan kali ini juga, seramai 2,241 pelajar atau kira-kira 46 peratus tergolong dalam kalangan B40 dengan 216 daripada mereka mendapat pembiayaan pengajian sepenuhnya menerusi program Siswa Sulung USM.

“Buat pertama kalinya pada tahun ini juga, USM turut menyediakan Biasiswa Pelajar Terbaik STPM 2025 kepada seorang pelajar yang ditawarkan mengikuti pengajian di USM selain menerima 17 calon pelajar daripada kalangan orang kurang upaya (OKU) yang ditempatkan di ketiga-tiga kampus USM,” katanya.

Tambah beliau, USM turut menerima 999 pelajar antarabangsa dari 37 buah negara, lapan pelajar Orang Asli selain 16 atlet termasuk atlet negara yang menyambung pengajian mereka di universiti itu pada sesi pengajian kali ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×