Rumah tangga bergolak angkara ketagih video lucah

Rumah tangga bergolak angkara ketagih video lucah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Soalan:
Saya baru kahwin lima bulan. Sebelum kahwin, saya pernah terjebak dengan video lucah sekejap dan berhenti. Selepas kahwin, saya ketagih semula dan perihal ini menyebabkan hubungan saya dan isteri semakin renggang. Bantu saya selamatkan rumah tangga kami.

Suami terdesak

Jawapan:
Di awal perkahwinan adalah proses untuk membina kepercayaan dalam perhubungan. Namun, sekiranya perhubungan disusuli dengan sikap ketagihan pornografi pasti boleh menjejaskan hubungan dengan pasangan. Berikut tip untuk anda keluar dari pornografi:

Akui masalah tanpa mencari alasan
Akui penggunaan pornografi sudah mengganggu kehidupan dan rumah tangga. Jangan menyalahkan pasangan, tekanan kerja atau keadaan perkahwinan. Mengakui masalah bukan bermaksud anda seorang yang buruk, tetapi menunjukkan kesediaan untuk anda bertanggungjawab dan berubah.

Bercakap dengan isteri secara jujur
Pilih masa yang sesuai untuk berbincang. Nyatakan anda menyedari perbuatan tersebut melukakan hati dan menyebabkan hubungan renggang. Elakkan alasan atau memaksa isteri untuk segera memaafkan. Berikan ruang kepadanya meluahkan kecewa atau marah.

Kenal pasti pencetus dan ubah rutin
Perhatikan bila keinginan untuk menonton muncul, contohnya ketika bersendirian, bosan, tertekan atau lewat malam. Selepas mengenal pasti pencetus, ubah rutin tersebut. Hadkan penggunaan telefon bersendirian, elakkan situasi berisiko dan gunakan penapis atau sekatan pada peranti.

Gantikan tabiat dengan aktiviti yang lebih sihat
Apabila dorongan muncul, tangguhkan tindakan dan lakukan aktiviti lain seperti berjalan, bersenam, mandi, membaca atau menghubungi seseorang yang dipercayai. Tujuannya ialah melatih diri memahami dorongan boleh berlalu tanpa perlu diikuti.

Bina semula hubungan dengan isteri
Usaha berubah bukan sekadar berhenti menonton pornografi, tetapi turut membina semula hubungan. Luangkan masa bersama, berbual tanpa telefon, makan bersama dan bina keintiman secara berperingkat. Kepercayaan tidak pulih melalui janji, tetapi melalui perubahan tingkah laku yang konsisten.

Dapatkan bantuan profesional Jika sudah berkali-kali cuba berhenti tetapi masih kembali kepada tabiat tersebut, dapatkan bantuan kaunselor, psikologis atau ahli terapi. Mereka boleh membantu mengenal pasti pencetus emosi dan strategi perubahan.

Kesimpulannya, ketagihan pornografi bukan bermakna rumah tangga berakhir. Namun, perubahan yang memerlukan tindakan yang konsisten. Jangan sekadar berjanji untuk berubah tapi buktikan melalui tindakan membina semula kepercayaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×