‘Cukup-cukuplah, bagi peluang kami pula’ 

‘Cukup-cukuplah, bagi peluang kami pula’ 

AHMAD Zahid Hamidi ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di sini hari ini. -UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: UMNO sekali lagi mendesak supaya Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) disegerakan bagi membolehkan rakyat menentukan mandat untuk pentadbiran baharu di Putrajaya.

Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, dalam tempoh lapan tahun ini, negara terperangkap dalam ‘peperangan politik tidak berkesudahan’ walaupun pilihan raya telah lama selesai.

Katanya, rakyat semakin letih dan lelah mendengar politik menjatuhkan, menebuk atap dan sebagainya sambil menegaskan UMNO tidak berhasrat untuk berbuat demikian.

“Jadi telah tiba masanya, PRU16 disegerakan. Ini bukan desakan (tetapi) harapan itu (adalah) kehendak rakyat. Cukup-cukuplah, bagi peluang (kepada) kami pula,” katanya dalam Ucapan Dasar Presiden UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di sini hari ini.

Ahmad Zahid juga turut mengetuk gendang peperangan dengan slogan ‘lawan tetap lawan’ tanpa menamakan mana-mana pihak sebagai musuhnya.

“Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan, alang-alang kita berlawan, kita lawan,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, gelombang biru yang menjadi fenomena sejak Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kemudiannya diteruskan ke Negeri Sembilan bukannya hanya untuk menjadikan UMNO sebagai pelengkap kerajaan.

Namun katanya, gelombang biru itu adalah detik penentuan bagi UMNO mendapatkan semula mandat untuk menerajui kepimpinan negara.

“Kita harus rangkul sahabat-sahabat lain untuk sama-sama kita lakar kejayaan (pada PRU16),” katanya.

Sebelum ini, Ahmad Zahid dilaporkan menggesa supaya PRU16 diadakan lebih awal, berbanding tempoh penggal Parlimen yang hanya akan berakhir hujung tahun depan.

“Pada hemat saya, kalau pilihan raya umum diadakan lebih awal, itu lebih baik. Jadi, mandat rakyat dapat kita peroleh,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×