WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Donald Trump sedang mempertimbangkan menjual beberapa gudang besar yang dibeli oleh Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam (ICE) awal tahun ini bagi dijadikan pusat tahanan besar untuk pendatang, menurut dua pegawai Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS).
Pegawai DHS dan ICE berkata, beberapa daripada 11 gudang yang dibeli sebelum ini, sebahagiannya dirancang diubah suai bagi menampung sehingga 8,000 pendatang, kini dikenal pasti untuk kemungkinan dijual.
Namun, mereka menegaskan kemudahan tersebut belum pun disenaraikan untuk dijual dan tiada keputusan muktamad dibuat setakat ini.
Semua gudang itu dibeli semasa pentadbiran bekas Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri, Kristi Noem, sebagai sebahagian daripada rancangan untuk meningkatkan kapasiti tahanan sehingga 10,000 pendatang pada satu-satu masa di seluruh negara.
Ia merupakan tambahan kepada kemudahan sedia ada yang mampu menahan puluhan ribu pendatang. Jumlah kos pembelian gudang tersebut dianggarkan bernilai AS$38 bilion (RM150.7 bilion).
Pegawai DHS turut berkata, ICE sedang mempertimbangkan untuk menjual beberapa pesawat yang dibeli atau dipajak semasa pentadbiran Noem, termasuk sebuah Boeing 737 Max 8 mewah, walaupun tiada keputusan dibuat.
ICE biasanya menggunakan pesawat sewa untuk proses pengusiran, dan pesawat yang dibeli semasa tempoh Noem merupakan pesawat pengusiran pertama milik kerajaan.
Pegawai DHS berkata, ICE kini tidak lagi memerlukan kapasiti untuk menahan sehingga 100,000 pendatang.
“Di bawah kepimpinan baharu, DHS sedang menilai semua sumber kami, termasuk pesawat, untuk memaksimumkan kecekapan dan terus melaksanakan misi Presiden Trump bagi memastikan keselamatan negara untuk semua rakyat Amerika,” kata jurucakap DHS dalam satu kenyataan ketika ditanya mengenai kemungkinan penjualan gudang tersebut.
Perbincangan mengenai kemungkinan penjualan aset yang diperoleh bagi melaksanakan dasar pengusiran Trump, menunjukkan perubahan budaya yang sedang berlaku dalam DHS sejak Markwayne Mullin mula mengetuai agensi tersebut.
Trump turut mendakwa, beliau mungkin mahukan pendekatan ‘lebih lembut’ terhadap penguatkuasaan imigresen susulan insiden tembakan maut yang membunuh dua rakyat AS semasa operasi penguatkuasaan di Minneapolis pada Januari.- AGENSI










