TAPAH: “Ayah akan tunggu ibu. Dia tak akan ke mana-mana”.
Demikian kata Nurr Ashikin Haszman, 29, anak tiri Jaslinda Saludin, 49, yang dilaporkan hilang ketika ekspedisi pendakian Trans Spencer Chapman di Gunung Batu Putih di sini, sejak Ahad lalu.
Menurut Nurr Ashikin, bapanya, Haszman Othman, 61, masih setia menunggu di Surau At-Taqwa, Stesen Janakuasa Sultan Idris II, Kuala Woh yang menempatkan Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK), sambil menantikan perkembangan operasi mencari dan menyelamat (SAR) ibunya.
Katanya, pada peringkat awal kejadian, bapanya dilihat lebih banyak mendiamkan diri kerana sedih selain masih belum menerima maklumat lengkap mengenai operasi pencarian.
“Saya sendiri pun tahu mengenai kehilangan ibu melalui media. Ayah mungkin sedang serabut dan dia tak teringat untuk beritahu sesiapa.
“Sekarang pun ayah dan adik (tiri) masih menunggu di kawasan operasi. Mereka enggan meninggalkan lokasi sehingga ibu dijumpai,” katanya ketika dihubungi semalam.
Menurut Nurr Ashikin, perkembangan terkini SAR termasuk penemuan jejak dan beberapa barangan dipercayai milik ibunya memberi sedikit kelegaan kepada mereka.
Katanya, penemuan itu turut menyuntik harapan ibunya dapat ditemui dan dibawa pulang dalam keadaan selamat.
“Ibu yang saya kenali seorang yang lasak, kuat dan berani. Jadi kami percaya dia mampu bertahan.
Sementara itu, operasi mencari dan menyelamat Jaslinda diteruskan termasuk penggunaan dron.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, penggunaan dron bagi tujuan pengawasan dan pencarian di lokasi melibatkan cerun, tebing dan lokasi yang sukar dimasuki oleh pasukan penyelamat. –UTUSAN










