KERJASAMA antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) yang suatu ketika dahulu digambarkan sebagai formula terbaik demi menjamin kestabilan politik negara kini mula dipersoalkan apabila hubungan kedua-dua gabungan itu dilihat semakin rapuh serta dipenuhi sindiran terbuka.
Apa yang sebelum ini dijual atas nama ‘demi kestabilan politik’, kini semakin dilihat sekadar pakatan untuk terus kekal berkuasa.
Pelbagai persoalan mula timbul, adakah BN dan PH benar-benar serasi sebagai rakan politik atau sekadar terpaksa berkongsi pentas kerana tiada pilihan lain demi meneruskan kelangsungan kerajaan?
Selepas lebih tiga tahun pembentukan Kerajaan Perpaduan pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kerjasama membabitkan dua gabungan besar itu kini wajar dinilai semula bagi melihat sejauh mana keserasian, keikhlasan dan keberkesanannya dalam mentadbir negara.
Di hadapan media, pemimpin kedua-dua pihak masih bercakap mengenai kestabilan, perpaduan dan semangat kerjasama. Namun di sebalik tabir politik, pelbagai kenyataan sinis, perebutan pengaruh serta rasa tidak puas hati semakin jelas kedengaran.
Keadaan menjadi lebih panas apabila beberapa pemimpin mula mengeluarkan kenyataan terbuka seolah-olah mahu menunjukkan parti masing-masing masih dominan dalam kerajaan.
Sindiran demi sindiran mula kedengaran, sekali gus memberi gambaran bahawa rasa percaya antara mereka semakin menipis.
Laungan “tolak UMNO” dan “tolak PH” yang bergema sesama sendiri pula seakan-akan menjadi petunjuk akar umbi semakin sukar menerima kerjasama politik antara kedua-dua pihak.
Hubungan BN dan PH kini dilihat ibarat retak menanti belah apabila semakin banyak perbezaan pendirian serta suara penolakan muncul di peringkat akar umbi dan negeri.
Terbaharu, arena politik negara sekali lagi dikejutkan dengan tindakan 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN yang sebulat suara mengumumkan hilang kepercayaan serta menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun yang juga ADUN Sikamat mewakili PKR.
Perkembangan itu bagaimanapun tidak dianggap terlalu mengejutkan memandangkan sebelum ini ADUN Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan pada Disember tahun lalu meluahkan rasa kecewa terhadap pembahagian jawatan politik di Negeri Sembilan yang didakwa tidak selari dengan semangat kerjasama seperti diamalkan di peringkat Persekutuan.
Apa yang menimbulkan persoalan, kedua-dua parti ini berada dalam gabungan sama di bawah Kerajaan Perpaduan sama ada di peringkat negeri mahupun pusat. Namun realitinya, hubungan tersebut dilihat masih bergelut dengan masalah persefahaman dan penyelarasan politik.
Perkembangan ini secara tidak langsung memberi gambaran ketegangan dan rasa tidak puas hati dalam kalangan parti komponen kerajaan semakin sukar disembunyikan.
Hakikatnya, episod ini boleh dianggap sebagai petunjuk awal terhadap hala tuju sebenar kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan sama ada ia benar-benar kukuh atau sekadar menunggu masa untuk berdepan perpecahan yang lebih besar.
Penganalisis politik, Datuk Profesor Dr. Awang Azman Awang Pawi berkata, PRU16 akan menjadi referendum sebenar terhadap kematangan hubungan ini.
Beliau berkata, BN dan PH kini bukan berada dalam keadaan yang sempurna, namun juga tidak berada di ambang perpecahan, sebaliknya sedang melalui fasa peralihan daripada gabungan berasaskan keperluan kepada kemungkinan menjadi sebuah gabungan strategik.
Tambah beliau, perbezaan ideologi dan budaya politik antara BN dan PH memberi kesan terhadap keyakinan rakyat kepada kerajaan.
“Ini cabaran yang nyata. BN secara tradisional dibentuk dengan budaya konsensus konservatif, hierarki organisasi dan pragmatisme kuasa, manakala PH lebih sinonim dengan naratif reformasi, institusionalisme dan politik nilai. Apabila dua budaya ini bertemu, pertembungan naratif hampir pasti berlaku.
“Sebagai contoh, akar umbi BN mungkin melihat PH terlalu idealistik, sementara penyokong PH mungkin melihat BN terlalu lama mewakili pandangan mengekal status quo seperti isu Negeri Sembilan seolah fahaman politik lama. Jika pertentangan ini terus dimainkan secara terbuka, rakyat akan mula mempersoalkan keikhlasan gabungan tersebut.
“Namun politik abad ke-21 semakin bergerak ke arah kerajaan berasaskan gabungan, bukan politik kesucian. Rakyat sebenarnya boleh menerima kerjasama rentas ideologi jika mereka melihat manfaat yang jelas. Yang merosakkan keyakinan bukan perbezaan ideologi tetapi kegagalan mengurus perbezaan itu secara profesional,” katanya kepada Utusan Malaysia.

NILAI SEMULA KERJASAMA
Mengulas lanjut, Awang Azman berkata, BN dan PH wajar menilai semula bentuk kerjasama mereka selepas lebih tiga tahun mentadbir negara bersama di bawah Kerajaan Perpaduan.
“Ya, tetapi penilaian semula itu tidak bermaksud menamatkan kerjasama. Ia lebih kepada penyusunan semula strategi bagi memastikan hubungan politik yang dibina terus relevan dan berkesan.
“Mana-mana gabungan politik yang matang perlu menilai keberkesanan model kerjasama mereka secara berkala,” katanya.
Menurut beliau, antara perkara yang perlu diberi perhatian semula ialah mekanisme penyelesaian pertikaian antara parti agar sebarang konflik dapat diurus secara lebih tersusun dan tidak menjejaskan kestabilan kerajaan.
“Selain itu, komunikasi bersama kepada akar umbi juga perlu diperkukuh supaya hala tuju serta naratif kerjasama dapat difahami dengan lebih jelas oleh penyokong kedua-dua pihak,” katanya.
Tambah beliau lagi, aspek pengagihan peranan politik dan pentadbiran turut perlu dinilai semula bagi memastikan wujud keseimbangan serta mengelakkan rasa tidak puas hati dalam kalangan parti komponen.
Dalam masa sama, strategi menghadapi PRU16 perlu disusun dengan lebih teliti memandangkan landskap politik negara kini semakin mencabar dan dinamik.
“Garis merah atau perkara-perkara asas yang tidak boleh dilanggar juga perlu dipersetujui bersama supaya kerjasama ini kekal stabil dan tidak menimbulkan konflik berpanjangan,” katanya.
PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.










