KAJANG: Kawasan di mana seorang kanak-kanak perempuan dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam longkang merupakan padang dan taman permainan yang sering menjadi tumpuan kanak-kanak penghuni pangsapuri di situ.
Ibu mangsa, Nordina Zulkarnain, 34, anaknya, Nur Qaseh Deandra Mohd Qayyum sering bermain di kawasan berlakunya tragedi itu.
“Semalam dia main sebab semalam cuti bersama kawan-kawan lain yang juga penduduk di pangsapuri itu.
“Selepas berlaku kejadian, abang mangsa yang juga anak kedua saya naik ke rumah dan bagi tahu saya dan suami,” katanya di lokasi kejadian di sini, hari ini.
Nordina berkata, suaminya kemudian bertindak menelefon talian kecemasan bagi mendapatkan bantuan pihak bomba.
Katanya, beberapa barangan iaitu selipar dan bola ditemukan di sekitar kawasan pencarian hari ini bukan kepunyaan anaknya.
Sementara itu, datuk mangsa, Zulkarnain Ahmad, 57, yang bergegas hadir ke lokasi kejadian dari Seremban semalam turut meluahkan rasa bimbang dan sangat terkesan ke atas insiden yang menimpa cucunya.
“Saya rapat juga dengan dia. Saya tak boleh tidur sejak semalam. Hari ini, saya mengikuti pihak penyelamat mencari mangsa di sekitar kawasan pencarian,” ujarnya.
Semalam, seorang kanak-kanak perempuan berumur sembilan tahun dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam longkang untuk mengambil bolanya yang terjatuh sebelum dihanyutkan arus deras.
Panggilan kecemasan mengenai kejadian yang berlaku di Kondominium Sri Hijau itu diterima pihak bomba pada pukul 7.08 malam. – UTUSAN










