KUALA SELANGOR: Kanak-kanak lelaki yang sebelum ini dilaporkan hilang selepas terjatuh ke dalam longkang ketika hujan lebat dekat Lorong Cakera Purnama, Bandar Puncak Alam, ditemui lemas di sini, hari ini.
Mayat Allahyarham Khairil Izzani Khaizalulinudin, 10, ditemui kira-kira pukul 1 tengah hari tadi dekat tebing Sungai Buloh pada jarak kira-kira 6 kilometer (km) dari lokasinya dikatakan hilang.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, mayat kanak-kanak itu ditemui selepas pasukannya sedang melakukan pencarian di permukaan dan penyelaman di saluran air menghala ke Sungai Buloh bermula pukul 12 tengah hari.
“Pada pukul 1 tengah hari, komander operasi lapor kerja pencarian mangsa sedang dijalankan oleh unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dekat checkpoint C.
“Mangsa (kemudian) dijumpai pada pukul 1 tengah hari di lokasi Sungai Buloh pada jarak dianggarkan 6km dari lokasi mangsa jatuh. Mangsa seterusnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Sebelum ini, pelajar Sekolah Kebangsaan Puncak Alam 3 itu dilaporkan hilang dan dipercayai lemas selepas terjatuh dan dibawa arus deras ketika hujan lebat kira-kira pukul 3.30 petang, kelmarin.
Terdahulu, seramai, 90 pegawai dan anggota bomba serta penduduk setempat membantu mencari kanak-kanak tersebut yang memasuki hari ketiga dengan kawasan pencarian diperluas sehingga ke Sungai Buluh melibatkan radius sejauh 15 kilometer (km).
Ketua Zon 7 Utara JBPM Selangor, Samsol Maarif Saibani berkata, langkah itu diambil susulan kemungkinan mangsa dihanyutkan arus deras lebih jauh dari lokasi asal.
“Pos Kawalan Bomba (PKB) turut dipindahkan ke balai masyarakat Taman Alam Jaya bagi melancarkan penyelarasan operasi. Jarak dari lokasi mangsa dipercayai jatuh ke muara Sungai Buloh adalah kira-kira lima kilometer,” katanya
Tambahnya, PPDA, unit K9 serta anggota bomba diagihkan di beberapa lokasi strategik sepanjang laluan tersebut dengan pencarian dilakukan berulang kali bagi memastikan tiada petunjuk terlepas pandang. – UTUSAN










