KAJANG: Keluarga kanak-kanak perempuan yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam longkang sebelum dihanyutkan arus deras di Kondominium Sri Hijau, Bandar Mahkota Cheras di sini semalam, masih berharap mangsa ditemukan dalam keadaan selamat.
Bapa saudara mangsa, Afiq Ahmad, 33, berkata, kejadian tersebut amat meresahkan keluarga yang kini menanti sebarang perkembangan.
“Sudah tentu kami sekeluarga dalam keadaan gelisah menantikan sebarang perkembangan. Walaupun peluang tipis, kami masih menaruh harapan agar mangsa ditemukan dalam keadaan selamat,” katanya di sini.
Menurutnya, kejadian disedari kira-kira pukul 7.09 malam selepas bapa mangsa menerima panggilan daripada dua anak lelakinya yang memaklumkan adik mereka terjatuh ke dalam longkang ketika mengambil bola berhampiran taman permainan di belakang kediaman mereka.
“Pasukan bomba tiba tidak lama kemudian dan menjalankan operasi mencari sehingga kira-kira pukul 12 tengah malam, namun masih belum menemukan sebarang petunjuk.
“Kami berdoa agar anak saudara segera ditemukan pasukan penyelamat,” katanya.
Semalam, Nur Qaseh Deandra Mohd. Qayyum, 9, dikhuatiri hilang selepas terjatuh ke dalam longkang dan dihanyutkan arus deras semasa mengambil bola dalam kejadian di Bandar Mahkota Cheras.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pukul 7.08 malam sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kajang dikejarkan ke lokasi.
Katanya, pencarian kini diperluaskan dengan tumpuan kepada sistem pembetungan bawah tanah di sekitar lokasi kejadian. – UTUSAN











