KUALA SELANGOR: Seorang kanak-kanak hilang dipercayai terjatuh ke dalam longkang ketika hujan lebat dekat Lorong Cakera Purnama, Bandar Puncak Alam, di sini, semalam.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun itu dipercayai lemas.
Menurutnya, bomba menerima panggilan pada pukul 7.47 malam sebelum menggerakkan sepasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bestari Jaya ke lokasi kejadian.
“Komander Operasi lapor sampai dilokasi benar terdapat seorang kanak-kanak dipercayai lemas. Menurut laporan daripada orang awam mengatakan mangsa terjatuh ke dalam longkang pada pukul 3.30 petang dan hanyut dibawa arus deras ketika hujan lebat.
“Kerja-kerja mencari dan menyelamat oleh pihak bomba sedang dilakukan,” katanya kepada pemberita, malam tadi. – UTUSAN










