KUALA SELANGOR: Kebakaran dekat lereng bukit bersebelahan Sekolah Kebangsaan (SK) Puncak Alam 2, Bandar Puncak Alam, di sini, hari ini dipercayai berpunca dari kawasan perumahan di Jalan Gugusan Alam 7/20, Fasa 2.
Ia kemudian merebak ke bahagian atas bukit dan menghampiri kawasan sekolah bersebelahan dengan padang dan blok kantin.
Pengerusi Bahagian Keselamatan dan Kesihatan Kawasan Rukun Tetangga Penduduk Fasa 2, Ahmad Sharifudzan Mad Shaarani berkata, kebakaran tidak dapat dibendung susulan angin kuat yang menyebabkan api merebak dengan cepat.
“Ketika kejadian, cuaca berawan dan tidak panas, namun ketika itu tiupan angin agak kuat menyebabkan kebakaran yang bermula dari kawasan rumah di Zon G, Fasa 2 merebak dengan pantas.
“Susulan kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu, ada penduduk cuba memadam dan dalam masa saya menghubungi bomba untuk mendapatkan bantuan. Tetapi, api marak dan cepat merebak naik ke atas bukit dan pergi ke sekolah,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Tambahnya, keadaan itu menyebabkan asap tebal dan debu berterbangan masuk ke kawasan SK Puncak Alam 2 dan Sekolah Rendah Agama (SRA) Puncak Alam yang muridnya sedang menjalani sesi pembelajaran.
“Kemudian satu pasukan bomba bersama sebuah fire rescue tender (FRT) datang memadam di kawasan perumahan, namun api semakin marak dan memerlukan bantuan pasukan tambahan.
“Dua pasukan bersama dua FRT tiba secara berasingan dan masuk ke padang sekolah untuk memadam kebakaran di lereng bukit. Api berjaya dipadam kira-kira pukul 3 petang,” ujarnya.
Terdahulu Utusan Malaysia melaporkan, sesi petang persekolahan di SK Puncak Alam 2 di sini, hari ini dibatalkan susulan kebakaran hutan tersebut mengganggu pembelajaran murid pada sebelah pagi.
Keadaan itu menyebabkan sesi petang SRA Puncak Alam turut ditutup bagi mengelakkan murid dan guru terus terdedah dengan asap tebal dan debu yang berterbangan di kawasan tersebut.
Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Rieza Asbar memberitahu, keseluruhan kawasan terjejas seluas kira-kira 4.4 hektar.
Katanya, seramai 13 pegawai dan anggota bersama tiga unit FRT dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bestari Jaya, Bukit Jelutong dan Pasukan Bomba Sukarelawan (PBS) Saujana Utama terlibat dalam memadam kebakaran tersebut.
“BBP Bukit Jelutong dan Bestari Jaya masing-masing memadam kebakaran dekat bahagian bukit di kawasan perumahan dan sekolah, sementara PBS pula memadam kebakaran di kawasan berdekatan dengan sekolah.
“Seterusnya anggota melakukan pemeriksaan di sekitar kawasan kebakaran bagi memastikan tiada lagi punca yang boleh mendatangkan kebakaran semula. Api berjaya dikawal pada pukul 1.30 petang dan operasi selesai sepenuhnya pada pukul 3 petang,” ujarnya.
Katanya, sebelum itu bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.06 pagi dan menggerakkan sepasukan dari BBP Bestari Jaya ke tempat kejadian. – UTUSAN










