PETALING JAYA: Semua kementerian, agensi dan jabatan kerajaan diarahkan supaya berjimat cermat dengan berbelanja secara sederhana sebagai langkah mengurangkan tekanan kewangan susulan ketidaktentuan ekonomi global yang turut memberi kesan kepada Malaysia.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, arahan itu dikeluarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bagi memastikan perbelanjaan kerajaan lebih berhemah.
Menurut beliau, keputusan tersebut dibuat selepas mengambil kira pelbagai makluman dan perbincangan dalam Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), yang turut dibangkitkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri semalam.
“Perdana Menteri menegaskan supaya segala acara rasmi, bengkel dan aktiviti-aktiviti besar yang dilaksanakan oleh kementerian, agensi serta badan-badan berkanun atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) harus pada skala sederhana,” katanya pada sidang akhbar yang diadakan secara dalam talian, semalam.
Bagaimanapun kata Fahmi, tiada keperluan untuk membentang semula Belanjawan 2026, cuma Perdana Menteri meminta semua program diselaras dengan rapi.
Katanya, semua pihak mesti difahamkan dan mengambil langkah yang selari dengan usaha kerajaan ini terutama ketika negara sedang berhadapan dengan krisis.
Sementara itu katanya, kerajaan tidak bercadang membentangkan semula Belanjawan 2026 walaupun negara sedang berdepan tekanan berikutan ketidaktentuan global susulan krisis di Asia Barat.
Fahmi berkata, kementerian-kementerian kini sudah menerima pemakluman daripada Kementerian Kewangan (MOF) untuk menyemak semula perbelanjaan operasi mereka.
“Ia selaras dengan hasrat kerajaan untuk menyelaraskan program dan pelaksanaan aktiviti tertentu dalam keadaan Malaysia berdepan dengan cabaran akibat daripada krisis bekalan global.
“Panduan juga sudah diberikan. Namun perincian akan disusuli antara Ketua Setiausaha di setiap kementerian bersama Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar,” katanya.
Dalam pada itu, Fahmi berkata, Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) memaklumkan bekalan minyak mentah negara berada pada kadar memuaskan.
“Apa yang dimaklumkan dalam mesyuarat berkenaan, bekalan terutama untuk pihak Petronas berada pada kadar memuaskan bagi bulan Mei dan Jun. Insya-Allah tidak ada masalah.
“Pada masa sama, pihak MTEN meneliti dan sangat prihatin mengenai isu harga global, sama ada minyak mentah ataupun produk-produk seperti RON95 dan diesel akan menerima akibat daripada status Selat Hormuz yang terus ditutup pada waktu ini.
“Jadi, beberapa langkah dan ikhtiar di pihak kerajaan berkait Budi95, Budi Diesel, Budi Individu, akan diselaras dan perkara ini masih dalam penelitian,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata, individu yang membuat hantaran menghina Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di media sosial menggunakan akaun palsu dan dapatan itu dikenal pasti susulan siasatan awal terhadap kes tersebut.
Katanya, keterangan seorang lelaki dirakam Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), tetapi individu berkenaan menafikan memuat naik kandungan terbabit.
“Pada waktu ini, MCMC sedang bekerjasama dengan platform Meta dan polis untuk menjalankan analisis forensik bagi mengesahkan beberapa perkara yang dibangkitkan dalam penafian itu,” katanya.
Sebelum ini, Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar dilaporkan berkata, laporan polis sudah diterima berkaitan dengan insiden itu, kertas siasatan sudah dibukakan dan siasatan dijalankan.
Menurutnya, kes tersebut sedang dikendalikan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman ekoran darjah keseriusannya.
Kelmarin, Ahli Dewan Diraja Selangor menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menjalankan siasatan segera berhubung tindakan biadab itu.
Antara fokus siasatan adalah untuk menentukan sama ada wujud elemen akaun palsu atau tindakan agent provocateur yang sengaja mencipta akaun bagi menyebarkan kandungan sensitif.
Katanya, modus operandi itu berpotensi memangsakan pihak lain selain mencetuskan kemarahan awam terhadap isu melibatkan agama, kaum dan institusi diraja (3R).
“Isu ini masih dalam penelitian dan kita serahkan kepada MCMC dan polis untuk membuat kenyataan lanjut selepas siasatan lengkap.
“Sebarang tindakan atau hukuman hanya akan ditentukan selepas siasatan selesai dan pihak yang benar-benar bertanggungjawab dikenal pasti,” katanya.
Beliau turut mengingatkan orang ramai tidak membuat spekulasi atau menyebarkan kandungan yang belum disahkan, kerana ia boleh menjejaskan siasatan.
Selain itu kata Fahmi, mesyuarat Kabinet semalam turut dimaklumkan mengenai pencapaian Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di bawah MCMC.
“Pemilihan NADI sebagai salah satu daripada International Telecommunication Union Digital Transformation Center (ITUDCT) turut dimaklumkan kepada Jemaah Menteri.
“Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi turut membangkitkan hasrat supaya pusat-pusat komuniti desa di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) diselaraskan.
“Ia akan diselaraskan aktiviti bersama dengan NADI di bawah MCMC dalam masa yang tidak terlalu lama,” katanya. – UTUSAN











