Trend jamuan di sekolah, sama ada jamuan hari raya mahupun jamuan akhir tahun, sering kali dianggap sebagai aktiviti yang menyeronokkan buat murid.
Namun di sebalik kemeriahan itu, wujud satu dilema yang semakin dirasai khususnya dalam kalangan ibu bapa, terutamanya golongan ibu.
Tanggungjawab menyediakan makanan untuk jamuan kelas yang dahulunya dilihat sebagai perkara mudah, kini menjadi satu tekanan. Hal ini kerana wujud pelbagai keperluan dan pantang larang pemakanan dalam kalangan kanak-kanak.
Ada ibu bapa yang tidak membenarkan anak mereka mengambil makanan manis, ada yang menolak makanan berasaskan MSG dan tidak kurang juga yang mengelakkan makanan proses sepenuhnya.
Situasi ini secara tidak langsung meletakkan ibu yang menyediakan makanan dalam keadaan serba salah. Mereka bukan sahaja perlu memikirkan kesesuaian hidangan, malah terpaksa menimbang penerimaan ibu bapa lain.
Apa yang dahulu boleh diselesaikan dengan menyediakan juadah ringkas seperti bihun goreng atau kek kini menjadi lebih rumit kerana perlu mengambil kira pelbagai sensitiviti.
Lebih membimbangkan, terdapat juga ibu bapa yang berasa takut untuk menyumbang makanan kerana khuatir akan dikritik.
Antara kebimbangan yang sering timbul ialah tuduhan menyediakan makanan tidak berkhasiat, terlalu ‘ringan’, atau sekadar ‘asal ada’. Tekanan sosial ini akhirnya menyebabkan ada yang memilih untuk tidak terlibat secara aktif dalam jamuan sekolah anak.
Hakikatnya, matlamat utama jamuan sekolah adalah untuk memupuk semangat kebersamaan, berkongsi rezeki dan meraikan momen istimewa bersama rakan-rakan. Ia bukanlah medan untuk menilai atau membandingkan kualiti makanan yang dibawa oleh setiap ibu bapa.
Justeru, pendekatan yang lebih rasional dan bertimbang rasa perlu diambil. Pihak sekolah atau guru boleh memainkan peranan dengan menyediakan garis panduan yang jelas dan mudah, contohnya mencadangkan jenis makanan yang sesuai tanpa terlalu membebankan ibu bapa.
Komunikasi antara ibu bapa juga penting agar setiap pihak memahami kekangan dan kemampuan masing-masing.
Ibu bapa juga perlu belajar untuk tidak terlalu cepat menghakimi. Tidak semua mempunyai masa, tenaga atau sumber yang sama untuk menyediakan hidangan yang ‘sempurna’.
Apa yang lebih penting adalah keikhlasan dan usaha dalam menjayakan aktiviti tersebut.
Jamuan sekolah seharusnya kembali kepada tujuan asalnya iaitu mencipta kenangan indah buat anak-anak. Dengan sikap lebih terbuka dan saling memahami, dilema ini pasti dapat dikurangkan, sekali gus menjadikan pengalaman lebih bermakna untuk semua pihak.
Adlinahani Khalil ialah Pengarang Berita Gaya Utusan Malaysia.










