KANGAR: Umat Islam di Perlis beraya dalam keadaan cuaca panas melampau apabila suhu maksimum harian mencecah 37 darjah Celcius.
Bahang panas tersebut menyaksikan aktiviti ziarah dalam kalangan keluarga terpaksa ditangguhkan pada waktu tengah hari berikutan tidak tahan dengan bahang panas.
Sejak pukul 11 pagi, bahang sudah mula dirasai dengan keadaan panas itu mula memuncak dari tengahari sehingga pukul 5 sehingga 6 petang.
Lyana Marzuki, 25, berkata, aktiviti ziarah raya keluarganya sedikit terjejas berikutan cuaca panas yang semakin teruk bermula sejak beberapa hari sebelum raya sehingga kini.
Katanya, dia dan keluarga hanya melakukan aktiviti ziarah pada sebelah pagi sebelum disambung pada waktu petang serta malam.
“Panas kali ini sangat luar biasa dan setiap kali perjalanan meskipun di dalam kereta juga dapat dirasai bahang tersebut. Kami juga kerap mandi sebelum meneruskan aktiviti ziarah.
“Saya juga berpesan kepada anak-anak agar minum air dengan secukupnya selain mengelakkan bermain di luar rumah khususnya pada waktu tengahari,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Sebelum itu, media melaporkan, sebanyak 14 kawasan di Semenanjung Malaysia berada pada Tahap 1 (Berjaga-Jaga) apabila mencatatkan suhu maksimum harian 35 hingga 37 darjah Celsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan, 14 kawasan itu melibatkan Perlis, Kedah iaitu Baling, Sik, Pendang, Pokok Sena, Kubang Pasu, Pulau Langkawi, Kuala Muda, Padang Terap dan Bandar Baharu serta Pulau Pinang iaitu Timur Laut.
Seterusnya Perak meliputi daerah Hulu Perak dan Kuala Kangsar, manakala Negeri Sembilan pula melibatkan daerah Rembau.
Muhammad Zaim Redzuan,40, berkata, cuaca panas di Perlis sangat luar biasa sehingga merencatkan kemeriahan Aidilfitri apabila ramai dalam kalangan keluarga terpaksa menangguhkan aktiviti ziarah pada tengahari.
Dia yang pulang beraya di kampung halaman sejak tiga hari lalu berkata, tetamu yang datang ke rumah juga lebih banyak minum air daripada menjamah makanan berikutan keadaan bahang yang menyebabkan rasa kurang selesa.
“Cuaca di Kuala Lumpur tidak begitu terasa panas namun sebaik sahaja menjejak kaki ke Perlis, panas terasa sangat luar biasa. Bagi orang luar, mereka mungkin sukar menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca di Perlis.
“Disebabkan itu, kalau dilihat ramai yang lebih selesa berada di rumah masing-masing daripada mengikuti aktiviti ziarah,” katanya. – UTUSAN










