Cuaca lebih kering, bomba siap sedia hadapi El Nino

Cuaca lebih kering, bomba siap sedia hadapi El Nino

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CYBERJAYA: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) meningkatkan tahap kesiapsiagaan bagi menghadapi risiko kebakaran hutan dan tanah gambut susulan jangkaan cuaca lebih kering akibat fenomena El Nino.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata, semua pengarah bomba negeri telah diarahkan memperkemaskan persediaan bagi memastikan pasukan berada pada tahap terbaik sekiranya berlaku peningkatan insiden kebakaran.

Katanya, satu pertemuan khas bersama pengarah-pengarah bomba negeri telah diadakan kira-kira dua minggu lalu bagi menyelaras langkah persediaan menghadapi musim kering yang dijangka berlaku tahun ini.

“Persediaan tahun ini dibuat dengan lebih teliti dan lebih rapi berbanding tahun lalu memandangkan kita dijangka berdepan keadaan cuaca yang sedikit lebih kering,” katanya selepas Program Qurban Kasih Bersama Warga Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), JBPM dan Parlimen Sepang di sini, hari ini.

Menurut beliau, JBPM turut memperkukuhkan keupayaan operasi menerusi perolehan 70 kenderaan kompak yang sesuai digunakan dalam operasi kebakaran hutan dan belukar selain 80 pam mudah alih tambahan.

Bagaimanapun, Nor Hisham berkata, berdasarkan pemantauan dan bacaan semasa terhadap fenomena El Nino di rantau Pasifik, keadaan tahun ini dijangka tidak terlalu kritikal.

“Berdasarkan jangkaan, ramalan dan bacaan yang kita peroleh, keadaan itu tidak terlampau kritikal. Jika dilihat pada corak cuaca semasa, walaupun terdapat beberapa hari yang sangat panas, hujan masih turun dan keadaan masih terkawal,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, JBPM turut memberi penekanan kepada pelaksanaan Arahan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) No. 1 bagi memastikan pengurusan bencana dapat dilaksanakan secara lebih berkesan sekiranya berlaku kebakaran hutan berskala besar.

Katanya, antara keutamaan ketika berdepan kebakaran hutan ialah memastikan aset dapat dimobilisasikan dengan segera termasuk penggunaan pam berkapasiti besar serta jentera berat bagi membina pemisah api.

Beliau turut menggesa penguatkuasaan rondaan dipertingkatkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Perhutanan bagi mengelakkan aktiviti pembakaran terbuka yang boleh mencetuskan kebakaran ketika cuaca panas dan kering. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN