Api marak cepat, asap tebal dipercayai punca lima sekeluarga rentung di Raub

Api marak, asap tebal dipercayai punca lima sekeluarga rentung di Raub

NOR Hisham Mohammad (depan) melihat kesan kebakaran rumah yang meragut lima nyawa di Kampung Pamah Kulat, Raub, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAUB: Api marak dengan cepat dan asap tebal dipercayai menjadi punca lima sekeluarga terperangkap dalam kebakaran rumah yang meragut nyawa mereka di Kampung Pamah Kulat di sini, hari ini.

Dalam kebakaran kira-kira pukul 3.35 pagi itu, dua mangsa ditemukan dalam keadaan rentung di luar rumah manakala tiga lagi ditemukan melecur di dalam bilik air rumah sewa berkenaan.

Mangsa yang terkorban ialah Mohd. Alawi Muhammad, 56; isterinya Zaleha Adam @ Ibrahim, 44, serta tiga anak mereka iaitu Ruby Adira Batrisya, 17; Ruby Adlina Banin, 14 dan Ruby Azyan Barizah, 10.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata, mangsa yang ditemukan di dalam bilik air adalah pasangan suami isteri dan seorang anak mereka.

Katanya, dua lagi anak pasangan itu ditemuikan dalam keadaan rentung di luar rumah dipercayai cuba menyelamatkan diri daripada api dan asap tebal.

“Pasukan bomba tiba kira-kira pukul 4.15 pagi dan mendapati kebakaran merebak hampir 70 peratus ketika itu. Keutamaan kami adalah menghalang api daripada merebak ke rumah bersebelahan dan  rumah jiran dapat diselamatkan sepenuhnya,” katanya di lokasi kejadian.

Menurut Nor Hisham, dua mangsa yang rentung di luar rumah ditemuikan pada pukul 4.15 pagi ketika operasi pemadaman dijalankan manakala tiga lagi mangsa dijumpai selepas api dikawal sepenuhnya.

“Jarak antara mangsa di luar rumah dan di dalam bilik air adalah sekitar enam meter. Melihat keadaan tiga mangsa di dalam bilik air menunjukkan mereka cuba mencari tempat yang mempunyai sumber air untuk berlindung, namun kemungkinan besar mengalami sesak nafas akibat asap tebal,” katanya.

Kata beliau, mangsa berkemungkinan menyedari kebakaran hanya selepas api marak sehingga menyukarkan usaha menyelamatkan diri.

Siasatan awal turut mendapati rumah sewaan berkenaan tidak dilengkapi alat pemadam api.

“Dari segi keselamatan kebakaran, pihak kami mendapati kemungkinan untuk mangsa menyelamatkan diri adalah tinggi kerana kedua-dua laluan keluar tidak dipasang jeriji besi.

“Mereka boleh buka dari dalam dengan cepat, namun kita mengambil pandangan kemungkinan besar ketika mereka sedar api sudah marak, keterbatasan penglihatan akibat asap tebal mungkin menyukarkan mangsa untuk mengambil tindakan melepaskan diri.

“Semua ini akan dirumuskan selepas siasatan dijalankan di peringkat negeri. Pada masa sama, kita membawa unit pengesan anjing bagi menjalankan siasatan lanjut untuk mengenal pasti jika terdapat unsur-unsur lain yang terlibat,” katanya. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×