‘Tun Faisal puasalah, jangan buat kenyataan keruhkan PN’

‘Tun Faisal puasalah, jangan buat kenyataan keruhkan PN’

MOHD. SYAHIR CHE SULAIMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz digesa supaya tidak mengeluarkan kenyataan terbuka yang boleh mengeruhkan keadaan berhubung isu dalaman Perikatan Nasional (PN).

Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman berkata, perkara berkaitan kedudukan jawatan dan struktur organisasi dalam blok pembangkang tidak seharusnya dibahaskan secara terbuka di media.

“Hal dalaman, ikut saluran dalaman, bukan serangan terbuka,” katanya dalam Facebook beliau hari ini.

Terdahulu, Tun Faisal menyatakan Ahli Parlimen Bersatu yang dipecat perlu segera dipindahkan ke blok bebas Dewan Rakyat serta dilucutkan jawatan kuota pembangkang.

Beliau turut menegaskan prinsipnya bahawa apabila seseorang wakil rakyat dipecat daripada parti, keahlian individu itu terputus serta-merta dipercayai merujuk kepada kedudukan Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang masih memegang jawatan ketua pembangkang walaupun sudah dipecat daripada Bersatu.

Dalam pada itu, Syahir berkata tumpuan pembangkang ketika ini sepatutnya diberikan kepada isu nasional yang lebih mendesak seperti perjanjian tarif, laporan audit, belanjawan tambahan dan reformasi undang-undang.

Beliau menegaskan perebutan jawatan dan kerusi bukan keutamaan ketika banyak isu rakyat memerlukan perhatian, selain menyarankan agar jentera penerangan menumpukan kritikan kepada pihak lawan politik, bukannya sesama rakan dalam gabungan.

“Melihat kepada apa yang ada di atas meja, maka hal-hal yang melibatkan berebut jawatan dan kerusi, tidak menjadi keutamaan kami.

“Lebih baik Penerangan tumpu isu rakyat, perkemas jentera media sosial (bukan ceplos), serang PH atau Madani, bukan serang kawan sendiri,” katanya.

Syahir turut memaklumkan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menghubungi Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang semalam bagi membincangkan kedudukan ketua pembangkang.

“Ini teladan yang baik. Kita bincang elok-elok. Difahamkan TGHH (Abdul Hadi) jawab, beliau tidak boleh buat keputusan sendiri, dan akan bawa perkara ini untuk diputuskan dalam mesyuarat terdekat,” katanya.

Syahir turut mengingatkan bahawa pandangan anggota parlimen pembangkang perlu diambil kira selaras dengan Peraturan Mesyuarat 4A(3) dan menegaskan bahawa Pas tidak pernah membuat sebarang desakan berhubung pertukaran kedudukan pengerusi PN yang baru mahupun yang lama.

“Melainkan jika Bersatu inginkan jawatan ketua pembangkang atau ketua whip, itupun kita boleh bincang, tiada masalah. 

“Kita bincang molek, ambil kira pandangan ahli parlimen dan pendirian parti; bukan serang secara terbuka,” katanya.

Tambah beliau, pandangan semua Ahli Parlimen pembangkang perlu diambil kira selaras Peraturan Mesyuarat 4A(3), selain menegaskan Pas tidak pernah mendesak pertukaran kedudukan pengerusi PN sama ada yang lama atau baharu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×