Tun Faisal perlu dihadapkan ke Lembaga Disiplin Bersatu

Tun Faisal perlu dihadapkan ke Lembaga Disiplin Bersatu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz, perlu dihadapkan ke Lembaga Disiplin parti susulan kenyataannya yang menggesa Datuk Seri Hamzah Zainuddin meletakkan jawatan.

Kenyataan tersebut didakwa dibuat tanpa mandat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) dan mencabuli disiplin kepimpinan parti.

Ketua Bahagian Bersatu Tangga Batu, Ramlan Meon berkata, kenyataan berkenaan tidak pernah dibincangkan atau dipersetujui dalam mana-mana mesyuarat MPT, malah tidak dirujuk kepada ketua-ketua bahagian sebelum dikeluarkan kepada umum.

Menurutnya, sebagai Ketua Penerangan, Tun Faisal seharusnya menyuarakan pendirian rasmi parti dan bukan mengeluarkan pandangan peribadi yang boleh ditafsir sebagai pendirian Bersatu.

“Tun Faisal ialah Ketua Penerangan parti. Setiap kenyataan beliau membawa imej dan pendirian parti. 

“Namun komen mengenai Datuk Seri Hamzah tidak pernah dipersetujui oleh MPT dan tidak pernah dibawa ke meja perbincangan bersama ketua-ketua bahagian,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ramlan berkata, tindakan Tun Faisal yang mengkritik Timbalan Presiden secara terbuka merupakan satu pelanggaran disiplin parti yang serius dan tidak boleh dibiarkan tanpa tindakan.

“Sejak bila seorang Ketua Penerangan boleh menyerang pemimpin parti sendiri secara terbuka? Ini jelas bercanggah dengan adab serta disiplin parti,” katanya.

Sehubungan itu, Ramlan berkata, Tun Faisal perlu dihadapkan ke Lembaga Disiplin Bersatu bagi mempertahankan prinsip kebertanggungjawaban dan memastikan disiplin organisasi terus terpelihara.

Ramlan turut mempersoalkan peranan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang melantik Tun Faisal ke jawatan Ketua Penerangan, khususnya sama ada kenyataan tersebut dibuat dengan pengetahuan atau restu kepimpinan tertinggi parti.

“Oleh kerana Tan Sri Muhyiddin yang melantik Ketua Penerangan, maka timbul persoalan sama ada kenyataan itu dibuat dengan restu Presiden atau sebaliknya,” katanya.

Ramlan turut menyifatkan Tun Faisal sebagai gagal melaksanakan tugas hakikinya sebagai Ketua Penerangan kerana didakwa lebih cenderung bertindak sebagai jurucakap Presiden berbanding mewakili suara keseluruhan parti.

Menurutnya, pendekatan sedemikian bukan sahaja menjejaskan imej parti, malah memberi kesan langsung terhadap persepsi rakyat terhadap kepimpinan Bersatu.

“Orang ramai melihat Tun Faisal sebagai orang lantikan Presiden. Apabila mereka menolak Tun Faisal, maka kebencian itu turut terpalit kepada Tan Sri Muhyiddin,” katanya.

Ramlan berkata, situasi berkenaan amat merugikan parti ketika Bersatu memerlukan kesepaduan dalaman bagi menghadapi cabaran politik semasa.

Menurut Ramlan, Tun Faisal sebagai liabiliti kepada parti dan menegaskan tindakan tegas perlu diambil demi kepentingan Bersatu secara keseluruhan.

“Malang sungguh Bersatu hari ini kerana terpaksa mengusung biawak hidup yang menjadi liabiliti kepada seluruh parti,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN