PETALING JAYA: Penyelesaian kemelut takhta Negeri Sembilan perlu diserahkan kepada pihak berautoriti melalui saluran undang-undang.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pihaknya menjunjung titah Majlis Raja-Raja agar kemelut di Negeri Sembilan diselesaikan berlandaskan peruntukan dan tatacara yang termaktub dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959.
Katanya, semua pihak perlu memberi ruang sewajarnya bagi menyelesaikan kemelut itu dengan tertib.
“Justeru, semua pihak perlu memberikan ruang sewajarnya kepada mekanisme perundangan serta adat yang sah untuk menentukan penyelesaian terbaik mengikut tertib dan kebijaksanaan, bagi memelihara kedaulatan institusi beraja, keluhuran undang-undang, seterusnya demi kesejahteraan rakyat Negeri Sembilan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Majlis Raja-Raja bertitah supaya pertikaian takhta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan diselesaikan oleh pihak berkepentingan dan berautoriti melalui saluran yang sah, tertib serta berwibawa.
Kemelut takhta Negeri Sembilan tercetus susulan proklamasi bertarikh 19 April 2026 yang dikeluarkan Undang Yang Empat bagi menurunkan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dan memilih Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar sebagai pengganti.
Pertikaian timbul berhubung kesahan proklamasi itu dan pematuhan terhadap UUTKNS 1959.
Pada 31 Julai lalu, Dewan Keadilan dan Undang (DKU) memutuskan proklamasi berkenaan tidak sah, antara lain berikutan persoalan mengenai status beberapa penandatangan dan pematuhan tatacara yang ditetapkan. DKU turut menegaskan Tuanku Muhriz kekal sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Pada 16 September pula, barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) mengumumkan bahawa proklamasi penurunan takhta dan pemilihan pengganti telah disempurnakan, sekali gus mengisytiharkan Tuanku Muhriz diturunkan takhta dan Tunku Nadzaruddin diiktiraf sebagai Yang di-Pertuan Besar baharu.
Bagaimanapun, Jabatan Peguam Negara (AGC) pada 17 September menyatakan proklamasi bertarikh 19 April itu tidak sah kerana tidak mematuhi kehendak mandatori Perkara 10 UUTKNS 1959.
Dalam titah sama, Majlis Raja-Raja menyeru supaya pertikaian berkenaan tidak dicampuri atau dipolitikkan pihak luar, sebaliknya diserahkan kepada pihak berkepentingan dan berautoriti untuk diselesaikan melalui saluran undang-undang yang sah. – UTUSAN











