MUKADIMAH
SEJAK pemilihan parti pada November tahun lalu, ada laporan mengenai timbalan ketua parti negeri, ketua bahagian, setiausaha dan bendahari negeri serta ahli-ahli yang keluar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). Malah, ada laporan bahawa parti bahagian yang isytihar bubar.
Ada yang kata tidak berpuas hati dengan hala tuju parti, perjuangan parti. Ada juga kerana keputusan pemilihan parti serta hilang keyakinan dan kepercayaan terhadap kepimpinan parti.
Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz pada pertemuan dengan kami telah menjawab segala persoalan mengenai kepimpinan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, hubungan dengan Pas dan isu-isu dihadapi Perikatan Nasional (PN). Ikuti jawapan beliau dalam temu bual itu.
ISU KELUAR PARTI
Bersatu baru melalui proses pemilihan parti, mungkin dalam proses pemilihan parti ini ada perkara perkara yang menyebabkan mereka rasa tidak kena contohnya, mungkin mereka tidak ada tempat dalam parti. Selepas pemilihan, mungkin ada perkara-perkara pentadbiran yang menjadikan mereka rasa tidak puas hati tetapi tidak diselesaikan secara terus.
Selepas pemilihan, ada orang yang kalah dan dia keluar parti. Ada orang yang mengaku letak jawatan sedangkan jawatan dia sudah tidak ada, jadi perlu tengok sebenarnya mereka keluar parti sebab apa, kena jujur.
Sejak saya masuk Bersatu sampai sekarang, saya tidak nampak perjuangan Bersatu itu berubah, parti ini masih perjuangkan agama Islam, bangsa dan tanah air demi kebajikan rakyat.
Mereka yang keluar Bersatu, mungkin kena jujur, kena ada sebab. Adakah kerana isu pentadbiran? Adakah kerana mereka sudah tiada tempat sebab kalah dalam pemilihan parti ini?
HILANG KEPERCAYAAN TERHADAP KEPIMPINAN PARTI?
Dua tahun lepas, waktu perhimpunan agung tahunan Bersatu 2023, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan tidak akan bertanding dalam pemilihan akan datang, tetapi permintaan beliau telah ditolak. Sebulat suara majoriti oleh perwakilan dalam perhimpunan agung tahunan. Kalau mahu kata hilang keyakinan terhadap kepimpinan, tahun lepas lagi Muhyiddin sudah tawarkan untuk tidak bertanding tetapi ditolak.
Maksudnya perwakilan parti masih memerlukan kepimpinannya. Kita tengok perhimpunan agung tahun 2024, keadaan berbeza kerana sudah ada perbincangan di peringkat tertinggi. Macam mana untuk mengadakan pemilihan parti, ada pemukiman dan sebagainya dan satu penyelesaian telah Muhyiddin peroleh selepas bertemu dengan begitu ramai pemimpin, petua ataupun formula pemilihan parti yang beliau bawa ketika Konvensyen Bersatu pada 2024 telah diguna pakai dan menjadi keputusan kepada perhimpunan agung dan pemilihan baru-baru ini. Sebulat suara perhimpunan agung tahunan kali ini menyokong penuh kepimpinan Muhyiddin sebagai presiden itu tidak berubah.
Kedudukan Datuk Seri Hamzah Zainuddin sebagai timbalan presiden telah dipersetujui dan diterima oleh seluruh ahli. Kedudukan tiga naib presiden, Datuk Seri Radzi Jidin, Datuk Seri Faizal Azumu dan juga Datuk Seri Ronald Kiandee, walaupun berlaku pemilihan, masih terbuka dan demokrasi masih ada tetapi ahli akar umbi kami tetap mengguna pakai formula yang dicadangkan oleh Muhyiddin.
Kalau mahu kata itu bukti penolakan terhadap kepimpinan ataupun hilang kepercayaan kepada Muhyiddin, kenapa dia tidak diterjemahkan dalam pemilihan baru-baru ini? Dan pemilihan parti ini mengekalkan apa yang dipetuakan seperti dulu.
Dalam ucapan ketua Armada Bersatu, beliau telah membawa satu ucapan supaya seluruh kepimpinan parti hanya ada satu pemimpin iaitu Muhyiddin. Kita hanya ada satu kumpulan, pasukan Bersatu dan juga pasukan Muhyiddin.
Sama juga dalam ucapan saya juga. Pemilihan sudah tamat. Formula yang Muhyiddin berikan telah diterima pakai oleh semua warga parti, buktinya diterjemahkan dalam pemilihan ini.
Dalam ucapan saya, saya kata untuk ke hadapan, tidak boleh ada dua imam. Dalam jemaah pun hanya ada satu imam, imam itu Muhyiddin. Dalam perang pun sama, tidak boleh ada macam-macam arahan daripada panglima perang, hanya ada satu arahan daripada satu panglima perang, baru boleh ke hadapan.
SIAPA SELEPAS MUHYIDDIN?
Soal selepas ini (pengganti), ia tidak diputuskan. Sekarang mungkin ada kepimpinan dalam kalangan pemimpin parti yang selepas ini ingin menggantikan Muhyiddin, mahu menggantikan kedudukan naib presiden. Itu bukan soal yang berbangkit sekarang. Soal pemilihan parti sudah selesai, ketetapannya Muhyiddin adalah presiden.
Kedua, timbalan presiden adalah Hamzah dan kita ada tiga naib presiden, majlis pimpinan tertinggi (MPT) pun sudah ditentukan dan sayap-sayap sudah ditentukan juga. Srikandi pilih Datuk Mas Ermieyati Samsudin. Hilman Idham pula ketua Armada menang melalui pertandingan pemilihan, sengit tetapi itu menunjukkan demokrasi yang sihat.
Jadi sekarang, kita sudah tidak cerita pasal pemilihan parti. Kita cerita tentang pilihan raya. Selepas ini, Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Melaka dan persiapan pilihan raya umum (PRU), jadi masa itu tidak panjang. Ini yang menjadi fokus kita, bukan lagi soal pemilihan, soal kem dan sebagainya.
PAS ATAU BERSATU ‘ABANG BESAR’ DALAM PN?
Pertama, PN diasaskan atas persetujuan dan permuafakatan atas common cause (penyebab umum). Perjuangan yang sama antara Bersatu dan juga Pas.
Kedua, PN ada perlembagaannya. Apa yang kita buat adalah berdasarkan perlembagaan dan persetujuan-persetujuan yang telah dicapai sewaktu pembentukan.
Ketiga, kita menyanjung sebenarnya dalam setiap proses itu, tradisi bermusyawarah. Itu adalah perkara yang diutamakan. Sebab itu, kalau kita kata ada ‘abang besar’ ke apa, kita perlu balik kepada tiga perkara ini iaitu persetujuan terdahulu, perlembagaan dan juga musyawarah.
Jadi, apa pun yang kita nak bincangkan, parti itu menang besar ataupun kecil, ia kembali kepada tiga perkara ini.
Sebab itu, dalam kepimpinan sebenarnya kita tenang. Yang suara yang bercakap itu dari luar sebenarnya bukan daripada kepimpinan dan majlis tertinggi parti. Mereka boleh bercakap apa pun sebenarnya tetapi akhirnya dia tertakluk kepada tiga-tiga perkara itu. Misalnya, perlembagaan sudah jelas dan persetujuan jawatan-
jawatan diisi oleh siapa. Cuma kalau hendak membuat perubahan, kita perlu ikut tradisi musyawarah, kita tidak bincang di luar.
SOKONGAN MELAYU, BUKAN MELAYU
Dari segi pengundi Melayu ketika ini, memang majoriti menyokong PN. Mereka melihat sekarang ini sebenarnya hanya ada satu pilihan sahaja iaitu PN, Pas dan Bersatu untuk menjaga kepentingan mereka. Orang Melayu dan orang Islam sudah tidak nampak UMNO, mereka sudah tidak ada masa hadapan.
Sepanjang dua tahun ini nampaknya, hanya PN yang bercakap tentang isu-isu Melayu dan Islam. Yang kritik tentang kegagalan kerajaan untuk melaksanakan perkara-perkara tertentu berkaitan Melayu dan Islam.
Kedua, pengundi bukan Melayu dan bukan Islam majoritinya menyokong Pakatan Harapan (PH), cuma di peringkat ini mereka sedang menilai, sejauh mana PN boleh membawa aspirasi mereka. Nak menyokong PN itu mereka masih menilai dan mula mengenali kita.
MASIH ADA RUANG BERBAIK DENGAN UMNO?
Bersatu parti yang inklusif dan Muhyiddin sendiri terbuka, persoalannya sekarang UMNO bolehkah dia berubah daripada keadaan dia sekarang yang tergelincir daripada perjuangan sebenar partinya. UMNO pun sudah lama tidak bercakap isu rakyat, jauh daripada isu-isu tersebut.
Adakah UMNO mahu kekal seperti ini atau UMNO mahu jadi UMNO yang macam dahulu? Kalau UMNO mahu jadi macam Umno dahulu saya rasa bukan sahaja PN malah, saya rasa banyak lagi pihak-pihak yang akan menyambut baik. Apa pun keputusan ini bukan boleh dibuat oleh sesiapa. PN akhirnya sama ada hendak menerima kerjasama dengan UMNO atau sebaliknya, ia akan dibuat dalam proses musyawarah dalam majlis pimpinan tertinggi. – UTUSAN










