Hamzah 'mahu rumah', lama atau baharu bukan isu – Tun Faisal

Hamzah ‘mahu rumah’, lama atau baharu bukan isu – Tun Faisal

TUN FAISAL ISMAIL AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Faisal Ismail Aziz menyindir tindakan Ketua Pembangkang, Hamzah Zainudin yang disifatkannya seolah-olah hanya mahu memiliki ‘rumah’ tanpa mengira milik sesiapa.

Menurut Tun Faisal, berdasarkan kenyataan Hamzah, beliau dilihat tidak kisah sama ada ‘rumah lama’ atau ‘rumah orang lain’, asalkan mempunyai tempat berpaut dalam arena politik.

“Berdasarkan kenyataan Hamzah, boleh difahami bahawa dia hanya mahukan rumah, tidak kisah rumah lama atau rumah orang lain, asalkan dia ada rumah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Tun Faisal turut mengingatkan agar Hamzah dan penyokongnya tidak melampaui batas sekiranya ‘menumpang’ dalam mana-mana parti lain.

“Kepada Hamzah dan pengikutnya, masuk rumah orang jangan sampai lupa diri sehingga mahu menjadikan rumah orang seperti rumah sendiri, apatah lagi cuba menghalau tuan asal.

“Jangan ulang perangai sama seperti ketika berada dalam Bersatu sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata, penyokong Hamzah juga dinasihatkan agar tidak terlalu ghairah untuk mengangkat pemimpin itu sebagai presiden dalam mana-mana parti selain tidak mencetuskan perbalahan berkaitan perebutan kerusi pilihan raya.

“Masuk rumah orang, jangan pula rakus mahu menjadikan Hamzah sebagai presiden dan berbalah kerana mahu bertanding pilihan raya.

“Dalam parti sedia ada, masih ramai yang layak dan mahu bertanding,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, ketika ini hanya terdapat enam Ahli Parlimen Bebas termasuk Hamzah selepas dipecat daripada Bersatu, manakala 13 lagi masih terikat dengan parti serta tertakluk kepada peraturan sedia ada.

“Mereka masih tertakluk kepada Fasal 10.4 Perlembagaan Bersatu, Akta Anti Lompat Parti, Perkara 49A(1) Perlembagaan Persekutuan serta sumpah dan baiah yang telah dilafazkan.

“Persoalan sama ada Hamzah mahu membina ‘rumah baharu’ atau menyertai ‘rumah orang’ tidak wajar dipolemikkan kerana kedua-duanya berpotensi mencetuskan implikasi di bawah Akta Anti Lompat Parti,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN