TAWAU: Inisiatif kerajaan menubuhkan Konsulat India di Sabah disifatkan mampu memberi manfaat besar kepada pembangunan dan ekonomi negeri ini.
Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, dalam keadaan ekonomi global yang mencabar, Sabah tidak boleh bersikap tertutup sebaliknya perlu memperkukuh hubungan perdagangan dengan negara luar termasuk India.
Beliau berkata, sokongannya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu perlu dilihat dari sudut kepentingan jangka panjang terutama dalam usaha menarik lebih banyak pelaburan asing ke Sabah.
“India mempunyai kekuatan dalam beberapa sektor seperti perubatan dan kesihatan yang boleh diteroka di Sabah melalui pelaburan strategik.
“Ini bukan sahaja merancakkan ekonomi, malah membuka peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Pesta Tahun Baharu Cina di pekarangan Fuji Mart Sin On, di sini, baru-baru ini.
Shafie berkata, penubuhan konsulat itu dijangka memudahkan urusan pelaburan dan mempererat hubungan diplomatik antara kedua-dua negara, sekali gus memberi keyakinan kepada pelabur untuk melabur di negeri ini.
Walau bagaimanapun, beliau menekankan bahawa kerajaan mesti memastikan setiap pelaburan yang masuk memberi pulangan langsung kepada rakyat Sabah.
“Kita mahu peluang pekerjaan yang diwujudkan nanti diisi oleh anak tempatan. Itu yang lebih utama supaya rakyat negeri ini turut menikmati hasil pembangunan,” katanya.
Terdahulu, Anwar Ibrahim menyokong keputusan India untuk membuka konsulat baharu di Kota Kinabalu, Sabah, sekali gus memperlihatkan hubungan Malaysia-India yang semakin kukuh.
Beliau berkata demikian dalam sidang media bersama Perdana Menteri India Narendra Modi, yang tiba di Malaysia baru-baru ini untuk lawatan rasmi selama dua hari. – UTUSAN










