KOTA KINABALU: Parti Warisan perlu menang lebih banyak kerusi pada pilihan raya nanti untuk membolehkan kembali memerintah negeri ini.
Presidennya, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, oleh sebab itu parti pimpinannya memilih bertanding secara solo di semua 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Katanya, Warisan juga menetapkan pendirian tidak akan bergabung dengan mana-mana parti lain untuk membentuk kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).
“Warisan ingin membentuk kerajaan sendiri kerana yakin mendapat kerusi mencukupi tanpa kerjasama dengan parti lain,” katanya pada sidang akhbar di Ibu pejabat Warisan di Kolombong, Inanam, hari ini.
Mohd. Shafie berkata, parti Berjaya pernah bertanding solo dan menang untuk membentuk kerajaan yang memerintah selama 10 tahun, begitu juga Parti Bersatu Sabah (PBS) turut berjaya memerintah selama 10 tahun.
“Di Kelantan, Pas yang juga bertanding secara solo sudah memerintah negeri itu selama 40 tahun,” katanya.
Sehubungan itu, beliau yakin rakyat Sabah kini bangkit kerana mereka mahukan perubahan.
Mohd. Shafie yang juga Ahli Parlimen Semporna berkata, Warisan sudah merasai situasi memerintah bersama parti lain selama lebih dua tahun ketika mengetuai kerajaan Warisan Plus dari 2018 hingga 2020.
Katanya, masalah timbul apabila rakan kerjasama mereka pada masa itu perlu bertanya kepada pemimpin mereka di Semenanjung mengenai keputusan yang dibuat di peringkat negeri. – UTUSAN










