KOTA KINABALU: Tempoh 24 jam yang getir sebelum pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 yang akan menentukan parti manakah bakal membentuk kerajaan baharu Sabah dan masing-masing yang bertanding menyuarakan keyakinan tinggi untuk menang esok.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) ketika berucap di Beluran meminta rakyat Sabah memberi peluang kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk memastikan pembangunan di negeri itu terus terbela dan berdaya saing.
“Kalau pilih pembangkang (Parti Warisan Sabah atau Warisan Plus), apa yang mereka boleh buat…(Datuk Seri) Ronald Kiandee (menteri dari Sabah) pun dari Perikatan Nasional, kalau ada masalah rakyat, kita selesaikan dengan sebaik-baiknya.
“Kalaulah negeri ini (Sabah) sama-sama sehaluan dan sekapal, sehati sejiwa dengan saya, pastinya rakyat Sabah akan lebih terbela. Itu mantik dan logiknya,” kata Perdana Menteri dalam majlis pemimpin bersama rakyat di dataran Majlis Daerah Beluran semalam.
Dalam pada itu, Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal mengingatkan, sesuatu manifesto boleh ‘tampak sangat bagus dan boleh disebut apa sahaja terkandung di dalamnya’ namun apa yang paling penting adalah pelaksanaannya.
“Gabungan Rakyat Sabah boleh membawa apa juga manifesto, tetapi ia cuma pemberitahuan mereka adalah sebuah gabungan untuk menarik minat rakyat Sabah.
“Ini berbeza dengan Warisan yang sangat jelas dan terang-terangan dalam menonjolkan maksud serta keperluan sesama rakyat Sabah, jadi saya pasti rakyat lebih mengetahuinya.
“Apa yang paling penting ialah untuk kita memastikan bagaimana dapat menarik pelabur datang bagi membantu membangunkan Sabah kerana banyak yang boleh ditawarkan jika berdasarkan sumber yang dimiliki negeri ini,” katanya ketika dihubungi.

Dalam pada itu, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, Mohd. Shafie cuba membohongi rakyat Sabah terutama dalam pemberian geran-geran tanah yang sebenarnya sudah pun dilakukan oleh BN sejak bertahun-tahun sebelum ini.
“Inilah ‘umpan’ yang digunakannya, geran tanah hanya akan diberi bila dekat pilihan raya. Saya tidak bersetuju. Sebab geran tanah sepatutnya diberi selepas diluluskan oleh jawatankuasa tanah dan diukur.
“BN bagi jaminan, geran-geran tanah tidak diberikan hanya apabila musim pilihan raya. Selesai sahaja ukur, maka akan terus diberikan. Kita mahu menolong rakyat secara ikhlas bukan mahu minta balasan,” kata Bung Moktar dihubungi Utusan Malaysia.
Bung Moktar turut mengingatkan bahawa BN tidak boleh memerintah jika rakan-rakannya termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam GRS tidak menang.
“Jadi, perlu mereka menang untuk mencukupkan kerusi kita memerintah,” katanya merujuk kepada GRS yang dianggotai BN, PN (Bersatu, STAR, SAPP dan Pas) serta Parti Bersatu Sabah (PBS).

Pengerusi PN Sabah yang juga Ketua Badan Pimpinan Bersatu negeri, Datuk Hajiji Noor pula menarik perhatian, sebelum Warisan mengambil alih Sabah, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri itu adalah 8.5 peratus.
“Selepas mereka ambil kerajaan, turun kepada 1.5 peratus. Apabila menghadapi pandemik Covid-19, ia turun lagi kepada 0.5 peratus.
“Apa yang kita tekankan apabila mereka ambil alih, keadaan ekonomi Sabah turun mendadak. Tidak ada banyak peluang ekonomi yang dibina untuk dilaksanakan selain peluang pekerjaan.
“Justeru, perlu bersatu padu dengan menyokong kerajaan Persekutuan. Jangan kita fikir perkara-perkara lain sehingga lupa kepada ancaman Filipina yang masih ada. Keputusan pilihan raya amat penting. Mesti memihak kepada PN dan BN supaya kita dapat usahakan yang terbaik,” katanya kepada akhbar ini.

Sementara itu, Presiden Parti Cinta Sabah (PCS), Datuk Seri Anifah Aman meminta rakyat Sabah memilih parti yang lebih baik dari Warisan.
“PCS ini parti tempatan pasal kita tidak mendukung DAP, PKR dan Tun Dr. Mahathir Mohamad macam Warisan. Jadi, apa-apa juga keputusan sebelum dibuat mereka (Warisan) sebelum ini, kena minta kelulusan atau kebenaran daripada pihak atasan di Kuala Lumpur.
“Dan sama juga dengan UMNO dan Bersatu. Hanya PCS sahajalah yang bertuankan sendiri,” katanya.
PCS, satu-satunya parti yang membariskan 73 calonnya di kesemua 73 kerusi DUN yang dipertandingkan.
Dalam pada itu, Ketua Umum Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang meletakkan 47 calon parti itu termasuk dirinya di DUN Pintasan bagaimanapun tidak yakin partinya mampu meraih kerusi dalam PRN itu.
“Saya sendiri pun tidak yakin untuk menang di kawasan baharu, DUN Pintasan ini walaupun majoriti pengundi di sini adalah terdiri ahli keluarga dan suku sakat saya iaitu kaum saya sendiri Iranun.
“Kalau kawasan kampung halaman yang saya berkhidmat lebih 30 tahun pun saya tidak berani jamin, macam mana saya nak ramalkan kemenangan calon USNO di kawasan lain?” katanya kepada sebuah portal di kediamannya di Kota Belud baru-baru ini.
Pandikar sebelum ini dikritik oleh anak lelaki Allahyarham Tun Datu Mustapha Datu Harun iaitu Amir Kahar kerana dikatakan cuba menghidupkan USNO dengan menggunakan nama serta legasi bapanya.
USNO ditubuhkan pada 1961 oleh Tun Datu Mustapha yang juga digelar Bapa Kemerdekaan Sabah.
Dalam pada itu, bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Chong Kah Kiat yang mengetuai Parti Liberal Demokratik (LDP) di 46 kerusi menaruh keyakinan LDP akan menang hasil meletakkan calon-calon muda.
“Mereka tidak mempunyai sikap tamak dan mempunyai visi tersendiri untuk kawasan masing-masing.
“Kita mahu ubah budaya politik Sabah dan parti yang suka menggunakan wang. Kita parti bermaruah dan mempunyai prinsip.
“LDP bertanding tanpa budaya wang dan kita juga bukanlah sebuah parti yang senang diatur dengan wang. Jangan fikir kalau ada wang akan menjadi raja,” katanya. – UTUSAN









