Kelantan Warriors tidak gopoh jadi juara, mahu kekal di STL

Kelantan Warriors tidak gopoh jadi juara, mahu kekal di STL

Muhammad Khairul Hisham (berdiri, kanan) bersama pihak pengurusan, kejurulatihan dan barisan pemain yang diperkenalkan pada Majlis Pelancaran Pasukan Kelantan Warriors bagi STL 2026 di Kota Bharu, Kelantan. - UTUSAN/MUSTAQIM MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kelantan Warriors tidak mahu gopoh memburu kejuaraan sebaliknya memberi keutamaan untuk kekal dalam Liga Sepak Takraw (STL) Premier bagi musim 2026/2027 yang membuka tirai pada 21 Oktober ini.

Ketua jurulatihnya, Muhammad Khairul Hisham Md. Yusoff berkata, sasaran itu ditetapkan secara realistik dengan mengambil kira pencapaian musim lalu serta proses pembentukan semula pasukan di bawah barisan kejurulatihan dan pengurusan baharu.

Katanya, fokus musim ini adalah memastikan Kelantan Warriors terus bersaing dalam liga utama itu sebelum merangka perancangan lebih besar untuk memperkukuh pasukan dengan identiti tersendiri pada musim depan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Setelah berbincang dengan pihak pengurusan, termasuk Presiden Gabungan Sepak Takraw Kelantan (Gastak), Mohamad Mohydin Mohamed Nor, kita menetapkan matlamat utama pasukan musim ini adalah untuk kekal dalam Liga STL Premier.

“Dalam tempoh itu, kita akan membuat perancangan baharu bagi musim depan, iaitu memantapkan dan membentuk semula pasukan dengan DNA Kelantan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Pasukan Kelantan Warriors bagi STL 2026/2027, kelmarin.

Muhammad Khairul Hisham memberitahu, usaha membentuk semula pasukan itu sudah bermula musim ini menerusi langkah membawa pulang pemain kelahiran Kelantan untuk bergandingan dengan pemain sedia ada, selain diperkuatkan dengan kehadiran beberapa pemain import.

Katanya, Kelantan Warriors juga mahu mencipta kejutan dengan mengetengahkan ‘DNA’ Kelantan serta berusaha sebaik mungkin untuk menjuarai setiap sirkit yang disertai.

Ujarnya, sasaran itu berbeza berbanding musim lalu apabila pasukan berkenaan menyasarkan sekurang-kurangnya satu atau dua kejuaraan sirkit.

“Pasukan ini hampir mencapai sasaran satu kejuaraan pada sirkit kelima, iaitu Grand Prix (GP) Perak musim lalu, tetapi tersekat selepas tewas kepada Perak Bison pada perlawanan akhir,” ujarnya.

Kelantan Warriors menamatkan saingan musim 2025/2026 di kedudukan keenam daripada 12 pasukan bertanding dengan mengumpul 76 mata.

Mengulas persaingan musim ini, Muhammad Khairul Hisham menjangkakan perebutan kedudukan terbaik dalam Liga STL Premier lebih terbuka dengan kehadiran pasukan seperti Negeri Sembilan Antlers, PDRM Defenders, Melaka Titans, Perak Bison dan Kuala Lumpur Thunders.

Katanya, meskipun terdapat pasukan yang dianggap kuat, setiap pasukan tetap mempunyai peluang untuk bersaing dan berusaha mencapai sasaran masing-masing.

“Pasukan kuat memang ada, tetapi semua pasukan di Liga STL Premier akan berebut untuk kekal dan memperoleh sesuatu. Kelantan Warriors sendiri akan cuba sehabis baik dengan gabungan pemain tempatan dan import yang ada,” katanya.

Kelantan Warriors 2026/2027 dibarisi Mohamad Irfan Mahazan (feeder), Mohamad Hisham Mat (tekong), Muhammad Faisal Mohd. Fuad (tekong), Madlee Anda (import/killer), Ahmad Danish Irfan Azwan (feeder), Nik Muhammad Afiq Mazlan (feeder), Muhammad Zulfikri Wajawwa Muhammad Zulhaniffa (feeder) dan Thanarat Kheachawat (import/tekong).-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini