32 Smart Lane ditambah untuk memastikan kelancaran trafik

Tahun Baharu Cina: 32 Smart Lane ditambah untuk memastikan kelancaran trafik

NIK Airina Nik Jaffar sewaktu berucap pada sidang akhbar Jelajah Media Ke Wilayah Tengah Lebuhraya PLUS sempena Perayaan Tahun Baharu Cina di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Buloh, hari ini. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI BULOH: Sebanyak 32 laluan Smart Lane telah ditambah di 32 lokasi berbeza bagi memastikan kelancaran trafik sepanjang musim perayaan Tahun Baharu Cina.

Pengarah Urusan PLUS Malaysia Berhad (PLUS), Datuk Nik Airina Nik Jaffar berkata, langkah itu dilaksanakan sebagai sebahagian daripada strategi peningkatan trafik sewaktu musim perayaan tiba.

Menurutnya, 19 lokasi Smart Lane dibuka di Wilayah Tengah, lima lokasi di Wilayah Utara dan lapan lokasi di Wilayah Selatan.

“Pengguna Smart Lane digesa berhati-hati dan memandu secara berhemah kerana lorong ini dibuka di bahu jalan kecemasan. Ia bukan untuk memandu laju.

“Smart Lane akan diaktifkan apabila trafik bertambah sesak, terutamanya semasa waktu puncak khususnya waktu pagi dan petang dan ianya dibuka bagi meningkatkan kapasiti jalan sehingga 25 hingga 30 peratus.

“Jika trafik beransur pulih, lorong Smart Lane akan ditutup dan Smart Lane ini akan dibuka sehingga paling lewat pada pukul 10 malam jika trafik betul-betul berada di waktu puncak,” katanya dalam sidang akhbar Jelajah Media Ke Wilayah Tengah Lebuhraya PLUS sempena Perayaan Tahun Baharu Cina di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Buloh, hari ini.

Tambah Nik Airina, sempena perayaan Tahun Baharu Cina itu PLUS turut menambah kakitangan jurutol dan PLUS Ronda sebanyak 20 hingga 30 peratus untuk mengurus peningkatan trafik semasa perayaan.

Katanya, pasukan Emergency Response Team (ERT)dengan lebih 432 anggota turut disediakan di 30 lokasi hotspot untuk bertindak segera sekiranya berlaku kemalangan.

“Anggota (ERT) ini terdiri daripada daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), bomba dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta ambulans St. John.

“PLUS juga akan menumpukan perhatian khusus di lokasi tumpuan kemalangan, antaranya seperti di Terowong Menora bagi memastikan kelancaran pengguna jalan raya.

“Oleh itu, PLUS menyeru orang ramai supaya merancang dan menyusun jadual perjalanan mereka berdasarkan MyPLUS-TTA yang dicadangkan menerusi aplikasi PLUS, bukan sahaja bagi perjalanan keluar dari Lembah Klang tetapi juga bagi perjalanan kembali semula ke Lembah Klang selepas bercuti,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×