KUALA LUMPUR: Inisiatif Smart Lane di lebuh raya utama negara berjaya mengurangkan kadar kesesakan trafik antara 30 peratus hingga 50 peratus sepanjang tempoh 2023 hingga kini.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pelaksanaan sistem berkenaan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) terbukti berkesan meningkatkan kelancaran aliran trafik di kawasan terlibat.
Beliau berkata, daripada sudut keselamatan pula, kadar kemalangan di zon Smart Lane adalah rendah berbanding jumlah keseluruhan isi padu trafik yang menggunakan laluan berkenaan.
“Bagi tempoh 2023 hingga kini, inisiatif Smart Lane secara keseluruhannya telah menunjukkan keberkesanan tinggi dan berjaya mengurangkan kadar kesesakan antara 30 peratus hingga 50 peratus.
“Daripada sudut keselamatan, kadar kemalangan di zon Smart Lane didapati sangat rendah jika dibandingkan dengan jumlah keseluruhan trafik di laluan tersebut,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, Kementerian Kerja Raya (KKR) dan LLM turut memberi penekanan kepada aspek keselamatan melalui penggunaan teknologi semasa termasuk kamera litar tertutup (CCTV) berasaskan kecerdasan buatan (AI).
Katanya, sistem itu digunakan bagi mengesan kepadatan trafik secara masa nyata (real-time) sekali gus membantu penyelarasan aliran trafik dengan lebih efisien.
“Langkah ini juga bertujuan meningkatkan keselamatan dan keselesaan pengguna lebuh raya termasuk penunggang motosikal,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Zakri Hassan (PN–Kangar) mengenai justifikasi pelaksanaan Smart Lane di beberapa jajaran Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) daripada aspek keselamatan dan keselesaan pengguna. – UTUSAN









