Lapan cedera kemalangan tiga kenderaan

Lapan cedera kemalangan tiga kenderaan

ANGGOTA bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kemalangan melibatkan tiga buah kenderaan di Kilometer 94, PLUS menghala selatan di Sungai Petani. - IHSAN BOMBA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Lapan individu cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah lori dan dua kereta di Kilometer 94, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) menghala ke selatan di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian itu, wanita berusia 56 tahun yang memandu Perodua Myvi mengalami kecederaan di bahagian kepala, bahu dan kaki selepas tersepit di tempat duduk pemandu.

Tujuh mangsa lain yang berusia antara 16 hingga 49 tahun termasuk seorang lelaki warga asing berusia lingkungan 30-an hanya mengalami kecederaan ringan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Guar Chempedak, Mohd. Happyzam Abd. Rasid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 8.56 pagi sebelum sepasukan lapan anggota bersama sebuah jentera dikejarkan ke lokasi.

“Setibanya di lokasi pada pukul 9.14 pagi, didapati kemalangan melibatkan sebuah lori tujuh tan, sebuah Perodua Myvi dan sebuah Toyota Noah.

“Terdapat lapan mangsa keseluruhannya dengan seorang mangsa wanita yang memandu Perodua Myvi tersepit di tempat duduk pemandu,” katanya di sini, hari ini.

Menurut beliau, anggota bomba menggunakan peralatan khas menyelamat bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan kaedah saver.

Katanya, dua mangsa dari Perodua Myvi dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani manakala dua mangsa menaiki lori dibawa oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM).

“Empat lagi mangsa yang menaiki Toyota Noah dihantar ke hospital oleh orang awam untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN