KUALA LUMPUR: Empat atlet selam skuba negara menyasarkan satu atau dua pingat pada penampilan sulung di Piala Dunia Sport Diving CMAS 2026 di Aix-en-Provence, Perancis, hujung minggu ini.
Malaysia yang menjadi wakil tunggal Asia pada kejohanan berlangsung dari 28 hingga 29 November itu mempertaruhkan tiga anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan seorang anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Ketua jurulatih negara, Tae Peng Siong optimis anak buahnya mampu mencabar kedudukan podium selepas menjalani latihan intensif selama tiga minggu.
Keyakinan itu bersandarkan catatan masa terbaik atlet negara yang setanding dengan pencapaian pemenang pingat pada edisi terdahulu.
Meskipun bakal berdepan saingan daripada atlet berpengalaman terutama dari Eropah, skuad negara mempunyai peluang untuk melakar kejutan pada penampilan sulung mereka.
Malaysia mempertaruhkan Raja Khairul Anuar Abdullah dan Salbuddin Salleh dalam acara 200 meter (m) trial serta 100m obstacle solo.
Dua lagi atlet, Patrick Anthony dan Syed Mohamad Haniff Syed Sohor pula akan bergandingan dalam acara 100m octopus berpasangan.
Terdahulu, Malaysia sudah menerima pelawaan daripada pihak penganjur untuk menyertai kejohanan berkenaan tahun lalu, namun belum bersedia untuk menggalas cabaran di pentas antarabangsa.
Penyertaan kali ini bukan sahaja membuka peluang kepada atlet negara memburu pingat, malah menjadi medan mengukur kemampuan mereka berbanding atlet terbaik dunia.
Sport Diving merupakan sukan kompetitif yang menguji kepantasan, kemahiran teknikal dan kecekapan atlet menggunakan peralatan selam skuba di dalam kolam renang. – UTUSAN











