PETALING JAYA: Selepas lebih dua minggu menerima rawatan akibat Influenza B dan jangkitan kuman pada paru-paru, pelawak dan pelakon, Amir Raja Lawak dibenarkan keluar dari Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu, Kelantan, semalam.
Amir atau Mohammad Amirullah Azmi, 36, merakamkan penghargaan kepada petugas kesihatan yang banyak membantu sepanjang tempoh menerima rawatan di hospital berkenaan.
“Alhamdulillah, dah dibenarkan keluar hospital dan balik rumah. Terima kasih doktor, jururawat serta Pembantu Perawatan Kesihatan (PPK) yang menjaga saya selama dua minggu lebih di HRPZ II ini,” katanya menerusi satu hantaran di Instagram.
Dalam perkongsian sama, Amir turut menceritakan keadaan kesihatannya yang pernah merosot sehingga doktor mempertimbangkan untuk menidurkannya bagi membantu rawatan.
“Betul, saya hampir ditidurkan sebenarnya, tapi Umi beritahu doktor supaya jangan tidurkan dahulu dan tolong bagi apa-apa ubat lain sebagai usaha supaya tidak ditidurkan,” katanya.
Ujarnya, masalah kesihatan itu bermula apabila dia mengalami demam berpanjangan sebelum disusuli serangan asma, manakala pemeriksaan sinar-X mengesan jangkitan kuman pada paru-parunya.
Mengulas pengalaman berkenaan, dia menyifatkan jangkitan Influenza B yang dialaminya lebih mencabar berbanding ketika pernah dimasukkan ke hospital akibat Covid-19.
“Saya pernah positif Covid-19 dan dimasukkan ke hospital, tapi ujian Influenza B positif ini lebih hebat ditambah dengan kesan lama Covid-19 yang memudahkan kuman melekat pada paru-paru. Ia menyerang sendi dan dalaman.
“Allahuakbar, tak sanggup nak bayangkan dengan kahak berdarah, sesak nafas, terpaksa pakai mesin oksigen melekat kuat pada muka dan perlu disuntik,” katanya.
Walaupun sudah dibenarkan pulang, Amir memaklumkan dirinya masih belum pulih sepenuhnya dan perlu menjalani pemeriksaan susulan termasuk imbasan tomografi berkomputer (CT scan) serta sinar-X.
Pengalaman itu turut membuatkan Amir menyedari kesilapannya yang terlalu sibuk menguruskan perniagaan sehingga tidak memberikan perhatian secukupnya kepada waktu rehat dan kesihatan diri.
“Pada awalnya saya cuba bertenang dan uruskan hal kedai walaupun keadaan (kesihatan) diri sudah merosot, namun akhirnya langsung tidak berdaya sehingga telefon bimbit pun dipegang keluarga.
“Banyak saya belajar daripada kejadian ini dan mungkin sebelum ini saya terlalu sibuk hingga tidak cukup rehat serta tidur. Nikmat sihat memang tiada tandingnya, jadi jaga diri dan kesihatan baik-baik,” katanya.
Untuk rekod, Amir dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) HRPZ II pada 11 November lalu akibat jangkitan kuman pada paru-paru sehingga memerlukan bantuan pernafasan.











